Calon KEADILAN bagi kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, Abdul Rahman Yakub berpandangan beliau
mempunyai peluang yang sama rata dengan lima calon lain.
Namun, beliau menganggap
KEADILAN dan Warisan Plus mempunyai kelebihan untuk memenangi Pilihan Raya
Negeri (PRN) Sabah.
"Peluang semua calon sama,
sama-sama ada kekuatan tersendiri. Peluang yang tinggal adalah menarik hati
pengundi sama ada mereka boleh mempercayai kita apa yang cuba diperjuangkan,
saya fikir itu jadi penentu.
"Kita berharap mempunyai
peluang yang baik untuk memenangi kerusi yang bertanding di bawah parti
KEADILAN dengan kerjasama rakan gabungan, peluang itu bertambah baik,"
katanya.
Rahman juga mendedahkan
bagaimana kesemua enam orang calon termasuk dirinya yang bertanding di DUN
Klias mempunyai hubungan keluarga.
"Boleh dikatakan semua
calon ada pertalian keluarga sama ada dekat atau jauh memang ada pertalian
antara satu sama lain. Saya sendiri sangat kenal dengan mereka.
"Dulu orang selalu
mengatakan keluarga ramai itu kelebihan tapi dalam konteks kami, keluarga saya
keluarga mereka juga, jadi dari segi ini tidak ada kelebihan, pengundi terbuka
dan bebas memilih," katanya.
Pada masa sama, Rahman
menganggap keutuhan Warisan Plus akan menjadi faktor utama kemenangan PRN Sabah
pada 26 September ini.
"Di pihak sebelah ada
perpecahan ketara rakan komponen bertembung sama sendiri seperti Parti Bersatu
Sabah (PBS) bertembung dengan Umno dan Bersatu padahal satu komponen, ini
menunjukkan perpecahan.
"Sebaliknya Warisan Plus
bersetuju menyelesaikan beberapa soalan asas siapa ketua menteri, kita tidak
ada perbalahan, kita bersetuju Datuk Seri Shafie Apdal sebagai bakal ketua
menteri jika berjaya menjadi kerajaan.
"Perbezaan ketara apabila
Muhyiddin melantik Hajiji, tapi tiba-tiba Zahid pula mengatakan tidak
semestinya begitu kita akan bincang.
"Maknanya mereka tidak
bersepakat dan rakyat akan melihat perpecahan ini sebagai satu kelemahan, tidak
ada keikhlasan sedangkan Warisan Plus lebih ikhlas dan tidak ada banyak
persoalan.
"Kita mahu supaya
kemenangan ini dikongsi bersama bukan kemenangan seorang tapi kemenangan
bersama Warisan, Upko, DAP dan Amanah," katanya.