Tak betul jika ada
segelintir yang menyalahkan Umno apabila PAS tidak diberikan sebarang kerusi
dalam PRN Sabah.
1. Rundingan awal berlaku antara Umno yang mewakili Barisan Nasional dan PPBM
yang mewakili Perikatan Nasional. Hasil rundingan itulah yang dibawa ke
gabungan parti masing-masing untuk diagihkan kepada parti komponen. Disebabkan
PAS sebahagian daripada PN, kedudukan parti tersebut tertakluk kepada
perbincangan dalaman gabungan tersebut.
2. Kebanyakan kerusi yang diintai oleh PAS sebenarnya ditandingi oleh PPBM.
Sebagai contoh kerusi DUN Merotai yang asalnya kawasan tradisi BN kini
ditandingi parti tersebut. DUN ini antara kerusi berpotensi PAS kerana mereka
berjaya memperoleh lebih 1,200 undi pada pilihan raya umum ke-14.
3. Alasan PAS tidak sesuai dengan sentimen tempatan sepertimana kenyataan
pemimpin PN Sabah adalah sesuatu yang tak logik. PAS memperoleh lebih 13,000
undi popular pada PRU-14 di negeri tersebut berbanding SAPP yang hanya
memperoleh 6,000 undi popular. Tetapi SAPP diberikan 2 kerusi oleh PN.
4. Ketamakan PPBM ini akan mengundang padah besar kepada sentimen pengundi
Semenanjung. Betul, PAS kurang popular di Malaysia Timur dengan hanya
memperoleh 24,000 undi di Sabah dan Sarawak pada PRU-14. Tetapi parti ini juga
memperoleh 1.98 juta undi di seluruh Semenanjung – lebih daripada cukup untuk
membunuh terus hayat PPBM.
5. Bayangkan sehingga ke saat akhir pun, parti tersebut sebenarnya masih mahu
membolot lagi tambahan beberapa kerusi. Mujurlah Bung Moktar Radin lebih awal
mengisytiharkan kedudukan kerusi yang akan ditandingi BN bagi mengelakkan
pertelagahan lanjut.
6. Apa yang berlaku ini sepatutnya sudah menjadi “wake up call” kepada PAS
tentang bagaimana mereka dilayan dalam gabungan baru. Sedangkan berdasarkan
kekuatan semasa, PAS adalah parti yang sepatutnya mengetuai PN sepertimana Umno
memandu BN.
7. Jika sekiranya PPBM pada saat akhir pun masih enggan menyantuni kehendak
kecil PAS Sabah, maka PAS perlu menilai semula kedudukan dan nilai mereka dalam
Perikatan Nasional. Sebuah parti berpengalaman tidak sepatutnya duduk lebih
rendah daripada sebuah parti setahun jagung seperti PPBM.
8. Saya serius.
Abdul Rahim Hilmi Zakariya