Penghinaan ke atas pelajar Universiti
Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan
Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin bukan sahaja melampau tetapi merupakan
sifat buruk dan menjadi kebiasaan pemimpin Umno/Perikatan Nasional (PN) yang
sering tidak menghormati anak muda.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi
Fadzil berkata, sikap memperlecehkan suara anak muda sudah menjadi 'mainan' BN
dan kemudian PN. Namun sikap itu, katanya, boleh mewujudkan jurang penyampaian
maklumat kerajaan - rakyat yang meluas pada masa hadapan jika tidak ditangani.
"Inilah masalah generasi (tua)
yang tidak faham dan memperlekeh anak-anak muda. Kalau kita lihat dalam
kalangan timbalan menteri dari Umno, yang mana ramai kita tengok di Parlimen,
golongan yang lebih tua ini (PN) sering memperlekeh anak-anak muda termasuk
saya sendiri.
"Ahli Parlimen dari DAP atau
Syed Sadiq dipanggil budak, dipanggil cucu. Saya melihat anak muda, termasuk
Veveonah bagi mereka apabila bersuara dianggap tidak begitu penting.
"Berbeza dengan kami dalam
Pakatan Harapan (PH). Kami cukup marah bila anak muda seperti Veveonah
diperkotak-katikkan malah dituduh menipu. Timbalan menteri itu bukan bersembang
di FB atau kedai kopi, dia bercakap (menuduh) di Dewan Negara," kata Fahmi
dalam program sembang santai 'Apa Cerita Bah?' sempena Pilihan Raya Negeri
(PRN) Sabah, semalam.
Bagi Pengerusi Biro Komunikasi
KEADILAN itu, menteri kerajaan PN seharusnya sedar mengenai kekurangan
peralatan pembelajaran dalam kalangan mahasiswa atau akses internet yang lemah
di kawasan pedalaman sebelum melontarkan kenyataan. Kenyataan mengelirukan,
katanya, hanya akan merosakkan masa hadapan seorang pelajar malang seperti
Veveonah.
"Saya sedih sebab ada dua
perkara yang timbul di sini. Pertama, golongan penguasa di Putrajaya tidak
mengambil serius perkara ini. Sebab mereka tidak faham masalah yang dihadapi.
"Saya beri contoh di kawasan
saya ada ramai mahasiswa Universiti Malaya. Ramai daripada mereka berasal dari
pelbagai tempat. Semasa PKP mereka terpaksa kuliah secara on line.
"Di situ kita lihat masalah
besar. Tak ada laptop, tak ada internet. Itu perkara asas yang sepatutnya perlu
difahami oleh menteri. Bukan isu orang itu nak jadi youtuber,
viral dan sebagainya," katanya lagi.
Oleh itu, Fahmi menyeru agar pengundi
rakyat Sabah sedar terhadap pengabaian yang dilakukan oleh kerajaan PN ke atas
mereka. Rakyat Sabah harus bangkit bagi memastikan kerajaan negeri ditadbir
oleh Warisan dan PH yang boleh menggunakan hasil negeri untuk membantu rakyat
semampu yang mungkin.
"Saya kaji siapa yang paling
banyak bercakap mengenai isu Veveonah ini. Paling banyak di Selangor dan kedua
di Sabah.
"Bila kita selidik rupanya ramai
anak Sabah yang belajar atau bekerja di Selangor. Jelas anak Sabah marah dan
harapan saya agar mereka boleh balik pada 26 September nanti.
"Balik mengundi dan kekalkan
kemenangan Warisan - PH agar kita dapat teruskan pembangungan di Sabah dengan
baik," katanya lagi.