Setiauasaha Agung KEADILAN, Datuk
Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan jentera parti agar bergerak sebagai
satu pasukan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan dimulakan dengan
kempen pilihan raya pada minggu hadapan.
Katanya, sama ada KEADILAN bertanding
atau tidak di sesuatu kawasan, jentera harus bekerja kuat untuk memenangkan
calon di kawasan berkenaan.
"Kawasan boleh jadi kita
bertanding, boleh jadi tidak sebab kita akan muktamadkan kerusi (menjelang
Khamis) tetapi kalau takdirnya kawasan itu parti lain daripada kita, komitmen
kita, jentera kita di situ kita tidak akan pindahkan untuk bantu kawasan lain.
"Kita akan bekerja, seperti mana
kalau kita bertanding di DUN Api-Api, DAP, Warisan dan UPKO di situ akan
menangkan kita. Itu semangat yang kita letak. Ini penting atas nama
kesepakatan," katanya dalam majlis Jelajah Penerangan Negeri Sabah, di The
Palace Hotel pagi tadi.
Sementara itu, Saifuddin juga sempat
menaikkan semangat para jentera penerangan dengan membayangkan Kerajaan Pakatan
Harapan, Warisan dan UPKO akan kembali memerintah Sabah selepas hari mengundi,
26 September ini.
"Dalam pertemuan saya tadi , saya
tanya Datuk Seri Shafie, confident level dia setakat mana dari 73 kawasan DUN.
Dia sebut berdasarkan persiapan dan risikan, tahap keyakinannya cukup tinggi.
Kita akan sama-sama kembali membentuk kerajaan Sabah," katanya disambut
tepukan para hadirin.
Saifuddin juga menegaskan KEADILAN
perlu menang lebih banyak kerusi berbanding 2 kerusi seperti dalam Pilihan Raya
Umum lalu kerana keanggotaan parti yang besar di negeri itu
"Sabah negeri yang kedua anggota
KEADILAN tertinggi selepas Selangor. Didahului Kota Marudu dengan hampir 15,000
anggota, Tawau nombor dua.
"Kenapa keanggotaan terus
bertambah? Penduduk Sabah melihat ada kekuatan bersama KEADILAN, justeru tujuan
parti antara lain adalah untuk menyertai PRN. Oleh itu KEADILAN perlu mendapat
kerusi (untuk dipertandingkan) yang munasabah.
"Harapan besar diberikan kepada pimpinan negeri untuk
memenuhi hasrat itu," katanya lagi.