Kegagalan kerajaan Perikatan Nasional
(PN) melanjutkan tempoh moratorium selama 3 bulan lagi selepas berakhir tempoh
6 bulan pada 30 September ini amat mengecewakan rakyat.
Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar
Ibrahim berkata, kerajaan PN sewajarnya mempertimbangkan situasi ekonomi yang
kurang memberansangkan ketika ini dan mengambil cadangan Pakatan Harapan bagi
melanjutkan moratorium demi mempertahankan sektor industri kecil dan sederhana
yang terpukul teruk akibat pandemik Covid 19.
Anwar juga kecewa terhadap
keterbatasan usaha pihak bank menghubungi 8.3 juta peminjam di seluruh negara
bagi mendapatkan maklum balas keupayaan membayar balik pinjaman.
"Menurut laporan terkini,
bank-bank secara umumnya telah menghubungi seramai 1.4 juta peminjam. Di mana
sejumlah 380,000 dari angka tersebut telah memohon untuk lanjutan pinjaman dan
bantuan kewangan.
"Dari 380,000 itu, sebanyak 98%
telah diberikan dukungan kewangan oleh institusi bank. Meski saya puji langkah
tersebut, namun yang seharusnya diambilkira terdapat 8.3 juta peminjam di
Malaysia.
"Secara ringkasnya, bank-bank
hanya dapat berhubung dengan 17% dari jumlah keseluruhan peminjam. Angka ini
mencerminkan betapa kerajaan dan institusi bank masih belum memahami sentimen
keseluruhan para peminjam.
"Saya gesa kerajaan segera
mengkaji semula langkah ini (kutipan bayaran pinjaman), dan melaksanakan moratoriun
pinjaman secara bersasar, dengan fokus utama kepada peminjam yang berpendapatan
rendah serta pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana.
"Kita belum nampak sebarang
dampak pemulihan yang berkesan, terutamanya dalam aspek sumber pendapatan
golongan berpendapatan rendah, atau aliran masuk yang stabil kepada
pengusaha-pengusaha kecil di Malaysia. Kelas peminjam seperti ini mesti diberi
perhatian oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga
tidak dapat menerima alasan mengatakan sektor perbankan akan mengalami kerugian
sekiranya tempoh moratorium dilanjutkan.
Katanya, kerajaan perlu membentangkan
keuntungan sektor perbankan di Parlimen dan tidak terlalu tunduk kepada pihak
bank.
Menurut Anwar, bank-bank perlu
berkorban ketika rakyat dalam kesusahan dan tidak hanya memikirkan keuntungan
semata-mata.
"Kerajaan dan institusi bank
mesti menonjolkan ketelusan dalam soal kecairan (liquidity) serta keuntungan
terkini dan membentangkannya di Parlimen supaya ahli-ahli Parlimen dapat
merencana, mencari jalan dan dapat memungkinkan kebijakan yang munasabah dan
menyeluruh," katanya lagi.
Selain itu, Anwar turut melahirkan
kebimbangannya terhadap peningkatan mendadak jangkitan Covid 19 sejak dua
minggu kebelakangan ini.
Katanya, jika negara dirempuh oleh
gelombang kedua Covid 19 maka hal itu akan menyukarkan lagi pemulihan ekonomi.
"Dalam perkembangan lain, saya
ambil maklum terkait jumlah jangkitan Covid-19 yang kini telah mencecah 11,000
kes, dan jumlah kes yang aktif telah melepasi 1000 untuk pertama kali sejak
pertengahan bulan Jun lalu.
"Kita mungkin akan dirempuh
gelombang kedua wabak ini, dengan sekurang-kurangnya 20 kluster baru yang
aktif. Ini bukan perkembangan yang baik pada ekonomi kita untuk jangka pendek,
dan ini bermakna kita harus terus memikir dan mendukung golongan berpendapatan
rendah yang semestinya akan terkesan," katanya lagi.
Untuk rekod, moratorium selama 6
bulan bermula pada Mac lalu berakhir hari ini.
Mulai esok peminjam perlu menjelaskan hutang mereka kepada pihak
bank seperti biasa. Namun isu yang membimbangkan ialah perniagaan kecil dan
sederhana yang kurang mampu bertahan mungkin akan menutup perniagaan dan
meningkatkan lagi jumlah pengangguran yang kini mencecah 800,000 orang.