Kerajaan GRS goyah?
Walaupun ketua menteri Hajiji Noor mengumumkan pertukaran portfolio kementerian antara 2 timbalannya, kerajaan yang baharu ditubuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat masih “goyah”.
Pagi tadi, Bung Moktar Radin yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dilantik sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan manakala Masidi Manjun yang juga timbalan ketua PPBM Sabah dilantik timbalan ketua menteri, memegang portfolio menteri kerja raya.
Pelantikan itu difahamkan mencetuskan rasa tidak puas hati BN khususnya Bung, malah Adun Lamag itu dipercayai mahu membuat sidang media berhubung perkara itu di kediamannya.
Beberapa ahli Umno yang berkumpul di kediaman Bung turut meluahkan rasa tidak puas hati dan menganggap tindakan Hajiji sebagai tidak menghiraukan semangat setia kawan dalam GRS.
Bagaimanapun, sidang media itu tertangguh selepas Bung pergi ke Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) untuk bertemu dan berunding dengan Hajiji seterusnya membawa kepada pengumuman pertukaran portfolio antara Bung dan Masidi.
Dalam sidang medianya selepas itu, Bung berkata perkara itu bukan 1 isu sebaliknya hanya masalah komunikasi.
Namun, reaksi Masidi berhubung pertukaran itu berbeza dengan Bung dan dilihat seolah-olah beliau terpaksa melepaskan jawatan menteri kerja raya kepada Bung.
“(What a day) Hari yang panjang, kurang dari 3 jam selepas dilantik sebagai menteri kerja raya, sekarang saya menteri perumahan dan kerajaan tempatan. Saya bertukar kerja dengan Bung. Tolong jangan tanya saya apa sebabnya. Saya akan bagitahu selepas saya bersara,” katanya dipetik di Twitter.
Kenyataan Masidi itu menjadi tular di media sosial dengan pelbagai spekulasi timbul.
Bagaimanapun, kira-kira sejam selepas itu, Masidi sekali lagi membuat ciapan di Twitter, namun kali ini nampak lebih positif dan bersedia untuk menerima tugasan baharunya.
“Terima kasih atas kata-kata baik anda semua dan mesej ucapan tahniah. Saya telah teruskan langkah, saya bercita-cita untuk berjaya dalam apa pun tugas yang diberikan kepada saya. Saya selalu menganggap tugasan itu lebih penting daripada saya. Kecemerlangan adalah milik mereka yang menginginkannya,” katanya.
Kerajaan GRS terdiri daripada PN memenangi 17 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, BN (14) dan PBS (7).