Gabungan Reformis Malaysia (GRM)
meneruskan desakan agar Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin berundur setelah
kehilangan majoriti dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen pada 22 September lalu.
Salah satu gabungan GRM, NGO Otai
Reformis 1998 mencadangkan rakyat prihatin melakukan kempen di media sosial
meminta peralihan kuasa segera berlaku.
Menurut Timbalan Presiden Otai,
Mustapha Mansor Amer Mohd Isa, netizen berhak menyuarakan rasa tidak puas hati
mereka kepada pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dengan menganjurkan flashmob
dan sebagainya.
"Kita minta teman-teman, orang
masjid, orang surau, kalau ibu-ibu ada pengajian fekah, tajwid apa salahnya
anda memberi sokongan (dalam majlis doa).
"(Atau) buat video singkat.
Misalnya, tajuk 'PN tiada mandat rakyat', 'DS Anwar Ibrahim #PM Malaysia 9', 'Menjunjung kasih Tuanku', 'DS Anwar
mewakili mandat rakyat', 'Daulat Tuanku'.
"Kenapa penting dibuat? Sebab
seluruh dunia menunggu. Saya yakin hari-hari wartawan antarabangsa akan
menghubungi Wisma Putra atau menteri luar bertanyakan apakah status terkini
(peralihan kuasa di Malaysia)
"Saya menyeru seluruh jaringan.
NGO Otai, NGO veteran tentera kita dengar apa arahan seterusnya dari penyelaras
kita. Tidak salah dari segi undang-undang buat flashmob di mana sahaja untuk
membangkitkan kesedaran rakyat. Ini penegasan dari pihak Otai Reformis
98," katanya dalam sidang media bersama GRM semalam.
Dalam pada itu, Mustapha yang juga
You Tuber terkenal membawakan persoalan netizen mengapakah sukar sekali untuk
Anwar diterima sebagai PM?
Sedangkan, katanya, sultan-sultan
tidak ada masalah menerima pertukaran kerajaan dari Pakatan Harapan kepada PN
di beberapa negeri sebelum ini dengan satu sidang media dan Akaun Berkanun (SD)
dipersembahkan.
"Jadi yang dipersoalkan netizen
kenapa di Kedah cepat sangat diambil tindakan. Diumumkan, walau belum bertemu
Sultan tetapi diumumkan 'kami telah mempunyai majoriti dan berhak berkuasa'.
Tak sampai satu minggu Sultan Kedah bertemu dan menerima SD tersebut dan beliau
(pemimpin Pas) menjadi MB, sama dengan di Johor. Tetapi ada apa ini (situasi
Anwar)?" tanyanya.
Oleh itu, Mustapha menggesa peralihan
kuasa dilakukan secara harmoni sebagaimana di Perak, Johor, Kedah dan Melaka.
Katanya, kesemua peralihan kuasa
tersebut berasaskan alasan pihak yang memerintah kehilangan majoriti. Alasan
sama yang dibentangkan Anwar dalam sidang media di Hotel Le Méridien, Selasa
lalu.
Beliau turut membawakan hujah al
Quran surah Ali Imran ayat 26, bagaimana kuasa yang diberikan oleh Allah swt
kepada seseorang atau atau satu kelompok. Dan Tuhan juga yang berkuasa mencabut
kekuasaan itu. Sebagai hambanya di muka bumi, kata Mustapha, hendaklah patuh
kepada ketentuan Ilahi.
Semalan GRM mengumumkan akan
menggerakkan kempen flashmob kesedaran bahawa kerajaan PN telah hilang majoriti
di seluruh negara bermula minggu ini.