Pemimpin-pemimpin KEADILAN
meluahkan kekesalan di atas tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis
Diraja Malaysia (PDRM) yang memberhentikan program terakhir Jelajah Sabah oleh
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon DUN Inanam, Peto Galim yang bertanding
dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Perkara itu berlaku ketika Anwar
baru berucap selama 10 minit dalam program tersebut apabila pasukan SPR dan
PDRM tampil dan memberitahu program itu tidak boleh diadakan kerana tidak
mempunyai permit sah.
"Kita diminta untuk
tamatkan program. Mereka kata kita tidak ada permit walaupun permohonan sudah
dibuat. Bahagian polis yang uruskan permit ini tutup pada hari minggu.
"Tidak apa, saya tidak
mahu mencipta sebarang masalah, jadi kita tamatkan di sini," kata Anwar.
Pengarah Strategi KEADILAN, Sim
Tze Tzin berkata KEADILAN sememangnya sudah pun menghantar permohonan untuk
mendapatkan permit bagi mengadakan program tersebut, namun menganggap SPR dan
PDRM gagal memahami kesukaran untuk parti politik berkempen.
"Mereka (PDRM) tutup Sabtu
dan Ahad, program ini pula dirancang sehari sebelum itu iaitu Jumaat malam.
Jadi, Sabtu pagi kita hantar permohonan tetapi bahagian yang uruskan itu tutup.
Bukan kami sahaja, DAP pun menghadapi masalah sama.
"Kami minta SPR supaya
lebih memahami situasi kami. Kempen hanya diadakan 14 hari sahaja dan program
ini adalah atas permintaan rakyat, mereka nak dengar Anwar berucap.
"Tapi apabila kami minta
kerjasama SPR dan PDRM, kita tidak dapat jadi kita harap mereka boleh memahami
parti politik yang bertarung dalam PRN Sabah. Berilah kerjasama kepada kami,
kerana kami pun beri kerjasama sepenuhnya kepada mereka," katanya.
Naib Presiden KEADILAN, Xavier
Jayakumar pula menggesa ketua polis negara melihat isu ini dengan lebih serius.
"Ini musim pilihan raya,
saya nak minta ketua polis tengok isu ini, pasal apa polis tutup hari Sabtu dan
Ahad.
"Kita bergerak sebagai
parti politik bersama calon 24 jam sehari. Malah, program ini diadakan di
kawasan tertutup.
"Kita bagi kerjasama tapi bagilah
kita peluang, kalau kita minta permit bagi sahajalah sebab ini PRN, ini hak
rakyat, ini suara kami dan beri pilihan untuk rakyat memilih kerajaan,"
katanya.