Ke arah gerakan Reformasi berkebajikan




Selepas 22 tahun gerakan Reformasi wujud menerangi minda politik, matlamat perjuangan seterusnya adalah agenda kebajikan rakyat.

Menurut pengerusi AraCare, Ahmad Idzam Ahmat, salah satu NGO dalam Gabungan Reformis Malaysia (GRM), kebajikan adalah gerak kerja terbaik untuk menarik sokongan masyarakat kepada Pakatan Harapan.

Katanya, masyarakat akan tertarik untuk bersama gerakan Reformasi kerana agenda kebajikan itu menguntungkan semua, terutama dalam pandemik Covid 19 yang belum berakhir.

"NGO kami bergerak membantu rakyat susah dan miskin. Orang Kurang Upaya (OKU), orang tua tiada pendapatan dan sebagainya. Kami bergerak di rumah flat dan kampung-kampung.

"Apatah lagi dalam suasana Covid 19. Jika NGO tidak tampil ke hadapan siapa lagi yang boleh diharapkan? Saya lihat NGO lebih merata di kalangan masyarakat kampung atau rumah flat. Mereka lebih tahu masalah rakyat.

"Bila lockdown baru-baru ini, kami dihubungi banyak pihak. Oleh kerana kami ada network di banyak kawasan, kami mampu membantu keluarga miskin, OKU dan sebagainya.

"Jangan kita biar orang sampai tak makan. Dalam gerakan reformasi ini kita ke depankan kebajikan. Kita jadi fronliners dalam kebajikan maka masyarakat akan menerima kita dengan baik," katanya dalam forum bertajuk 'Reformis sebagai aktivis sosial membantu rakyat kesan Covid 19' anjuran GRM baru-baru ini.

Menurut Ahmad lagi, gerak kerja kebajikan juga boleh menyantuni rakyat yang semakin kecewa dengan permainan politik, lewat siri pengkhianatan pejuang yang mengaku pengerak awal reformasi seperti Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin.

"Kadang-kadang orang rasa bosan berpolitik. Ada yang kata pening dengan politik. Walau bagaimanapun sebagai NGO secara amnya mereka mengikuti perkembangan politik (dan boleh dikekalkan sokongan)," katanya.

Ahmad juga berpendapat, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sekali lagi berikutan negara dilanda gelombang kedua Covid 19 maka peranan NGO akan lebih diperlukan.

"Ada 477,000 pemandu teksi, pemandu kenderaan pelancong dan grab yang tidak bergerak ketika PKP yang lalu. Cuma ada sedikit bantuan kerajaan maka mereka bertahan

"Bantuan ini juga bergantung kepada pemimpin. Kalau pemimpin asyik bergaduh bila nak selesai isu bantuan rakyat? Seperti sekarang tikam sana tikam sini. Menteri kena fikir positif untuk bantu rakyat.

"Oleh itu, kita sokong saranan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu ada tambahan RM45 bilion peruntukan. Kalau tidak IKS jadi bermasalah.

"Misalnya, pemandu bas sekolah 30,000 orang. Bila sekolah tutup pendapatan mereka tiada. Di mana mereka cari wang beri makan anak, isteri, bayar bil utiliti dan lain-lain. Apakah bantuan prihatin rakyat (dari kerajaan Perikatan Nasional) mampu menyesaikan masalah?" tanyanya.

Forum GRM boleh diikuti di page Facebook Gabungan Reformasi Malaysia pada setiap Rabu, 9.30 malam.