ISU VEVEONAH, TIMBALAN MENTERI ANGKUH UNTUK MELIHAT PERMASALAHAN SEBENAR*


KENYATAAN MEDIA

9 SEPTEMBER 2020

ISU VEVEONAH, TIMBALAN MENTERI ANGKUH UNTUK MELIHAT PERMASALAHAN SEBENAR*

Satu kesilapan besar Kerajaan dalam isu Veveonah ini adalah kerajaan seakan-akan tidak mampu untuk melihat bahawa isu ini sebenarnya timbul daripada masalah infrastruktur di Sabah.

Kempen “Tidak Pasti, Jangan Kongsi” yang dipelopori oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin sendiri tidak diendahkan, malah beliau secara terus-menerus menegakkan benang yang basah.

Sebagai Timbalan Menteri yang mempunyai “Ijazah Sarjana”, beliau sepatutnya sedar bahawa masalah sebenar dalam isu ini, yakni kurangnya infrastruktur di beberapa kawasan pedalaman Sabah harus diselesaikan sebelum membuat kenyataan yang mengguris hati masyarakat yang susah.

Hakikatnya di Sabah dan juga di pelbagai kawasan pedalaman di Malaysia, isu capaian internet ini adalah isu yang biasa. Maka, apabila isu seperti ini diangkat, Timbalan Menteri sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada Veveonah.

Namun, sehingga kini Timbalan Menteri masih lagi berkeras dalam menyerang seorang pelajar yang gigih menuntut ilmu.

Mungkin disebabkan kehidupan sebagai Timbalan Menteri itu mewah, beliau tidak faham akan kepayahan anak-anak di Sabah untuk menuntut ilmu.

Adakah Timbalan Menteri pernah merasai betapa susahnya hidup tanpa ketiadaan air dan elektrik setiap hari dan juga dengan jalan yang tidak berturap? Adakah Menteri dan Timbalan Menteri sebenarnya memperjuangkan nasib kami di dalam Parlimen?

Atau sebenarnya anda semua hanya mengumpul harta, membina nama, kononnya memperjuangkan bangsa dan agama.

Di saat realiti kehidupan kami ditunjukkan kepada Menteri, anda semua memilih untuk memperlekehkannya. Adakah #KitaJagaKita sebenarnya bermaksud Menteri jaga Menteri?

Di manakah Perdana Menteri, Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Wanita, Masyarakat dan Komuniti? Malah Menteri Komunikasi dan Multimedia sendiri masih diam membisu dalam isu ini.

Kebisuan ini boleh dianggap sebagai isyarat bahawa seluruh Kabinet sebenarnya setuju dengan tindakan Timbalan Menteri dalam menyerang seorang pelajar yang tidak bersalah.

Berdasarkan situasi sekarang, adakah kerajaan sebenarnya komited dalam menyelesaikan isu ini, atau sebenarnya kerajaan akan terus menyerang mereka yang membuat aduan. Marilah rakyat Sabah, kita hukum dan tolak Menteri-menteri dan Timbalan Menteri ini.

RAYMOND AHUAR
Ketua
Angkatan Muda Keadilan
Sabah