HORMATI KEHENDAK AMANAH MAHU GUNA LOGO WARISAN DI SABAH


Sewaktu PRU14 yang lalu, di Semenanjung semua sepakat di dalam PH untuk guna logo Keadilan, di antara lain sebabnya parti Bersatu waktu itu tidak disahkan lagi oleh ROS.  Waktu itu, Warisan tetap menggunakan logonya di Sabah atas alasan Warisan bukan dalam gabungan PH, cuma rakan kerjasama sahaja. 

PRU14 juga memperlihatkan Dap di Sarawak tetap menggunakan logo Dap walaupun Dap adalah dalam gabungan PH, tetapi tiada masalah kerana situasi politik di Sabah atau Sarawak tidak sama di Semenanjung.  Keadilan sejak dahulu lagi iaitu sejak PR hinggalah PH, di Sabah dan Sarawak kita tetap dengan logo kita. 

Tiada bezanya di dalam menghadapi PRN Sabah tidak lama lagi.  Keadilan tetap menyokong Warisan seperti dulu dan logo Keadilan akan tetap dibawa bagi membantu Warisan.  Apatah lagi, negeri Sabah adalah negeri kedua di Malaysia yang mempunyai keahlian paling ramai.  Walaupun mempunyai keahlian kedua tertinggi di Malaysia, Keadilan akan tetap memperkenalkan logonya. 

Saya tidak pasti berapa ramai ahli Amanah di Sabah.  Sekiranya Amanah merasakan sesuai untuk mereka gunakan logo Warisan, itu adalah hak parti mereka dan kita tidak perlu pertikaikan.  Bagi Keadilan, kita boleh bersolidariti dan bekerjasama dengan Warisan tanpa kita meninggalkan logo kita yang telah lama dikenali di Sabah mahupun di Sarawak sepertimana Warisan boleh bekerjasama dengan PH pada PRU14 yang lalu tanpa mereka meninggalkan logo parti mereka.

Saya bangga kerana logo Keadilan kini berada di mana-mana seluruh Malaysia dan semakin dikenali.  Ini adalah kerana parti kita sentiasa membawa logo ini samada menang atau kalah.  Pada PRU15 akan datang, kita tidak perlu lagi menjulang logo PH kerana logo itu telah dicemari oleh Mahathir. 

WFAUZDIN NS