Hari Malaysia yang disambut saban tahun pada tanggal 16
September harus diisi dengan pengertian yang lebih bermakna.
Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Hari Malaysia seharusnya disambut dengan jiwa merdeka dan iltizam mengukuhkan kefahaman pelbagai budaya serta agama di negara ini.
"Bersempena Hari Malaysia 2020, ayuh kita perkukuhkan persefahaman antara kaum dan agama, dan terus menjunjung Perlembagaan dan semangat federalisme.
"Kita juga harus memikir dan merencana sebaik mungkin dalam memantapkan kedudukan Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 agar kedua-dua negeri itu tidak lagi disisihkan dari pembangunan yang seimbang dan munasabah," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi Anwar, tanggal 16 September 1963 adalah tarikh yang besar maknanya buat negara. Di mana Sabah dan Sarawak berpadu dan membentuk Malaysia. Semangat federalisme pula menjadi paksi yang mengikat muafakat itu sehingga hari ini.
Namun begitu beliau mengingatkan, tidak banyak gunanya sambutan ulang tahun sekiranya rakyat Malaysia masih dibelenggu pemerintahan yang bobrok dan menyedut hasil bumi buat kepentingan kelompok tertentu, tidak sebagaimana yang dicita-citakan oleh pengasas Persekutuan Malaysia berdekad lalu.
Menurutnya, rakyat tidak akan merasa erti kemerdekaan selepas dijajah ratusan tahun sekiranya pemerintah yang mengganti penjajah itu mempunyai sifat menindas dan mengkesampingkan hak-hak yang sepatutnya dinikmati rakyat.
"Hari Malaysia menjadi kesinambungan dan titik penting kelangsungan yang menjanjikan keadilan serta kesaksamaan kepada seluruh warganya yang berbilang kaum.
"Atas semangat ini kita rakyat Malaysia harus bertekad dan berpadu atas asas-asas penting iaitu keamanan, kesejahteraan dan kerukunan.
"Janji kemerdekaan juga agar khazanah negara ini dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengambilkira latar belakang kaum, suku mahupun agama. Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian negara Malaysia bersama Semenanjung Tanah Melayu harus dilihat setara dan sepadan, dan ini harus mencakup aspek pembangunan yang saksama dan adil.
"Apa erti kemerdekaan jika dasar yang diupayakan pemerintah sejak puluhan tahun masih belum berhasil membela yang miskin dan melarat.
"Merdeka jenis apa jika masih ada rakyat dinafikan akses sumber elektrik dan air di kawasan-kawasan pedalaman. Dan dalam masa sama para elit politik menampuk kekayaan, dan nikmat ekonomi tidak sampai kepada yang benar-benar memerlukan," katanya lagi.
Justeru itu, Anwar juga menegaskan Pemahsyuran Kemerdekaan 1957 yang merupakan peristiwa luar biasa untuk warga Malaysia tatkala lebih 400 tahun dijajah, dan hasil buminya dijarah oleh para imperialis perlu diisi dengan sebaik-baiknya.
Beliau juga tidak mahu rakyat meminggirkan sumbangan dan
pengorbanan mana-mana kumpulan baik dari aliran kiri atau kanan sama ada di
Semenanjung mahu pun Malaysia Timur yang melatari pembebasan tanah air dari
kebobrokan penjajah dan imperialisme itu.