DAPSY Damansara kecam tindakan pemimpin GAMIS hina golongan OKU
Oleh DAPSY Damansara
Sosialis Muda DAP (DAPSY) Damansara ingin menzahirkan rasa kekecewaan terhadap tindakan Presiden Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Mohd Zofrie Zulhilmie Ruslee yang menghina golongan orang kelainan upaya (OKU) dalam muatan video ke laman sosial Twitter.
Video itu menunjukkan kawannya yang berpura-pura menyamar sebagai seorang OKU bagi tujuan mendapat petak tempat letak kereta OKU di sebuah masjid, di mana lakonan tersebut memperolok dan mempersenda golongan OKU.
Adalah pengetahuan umum bahawa petak tempat letak kereta OKU disediakan untuk kegunaan golongan yang mempunyai masalah mobiliti dan lain-lain agar dapat menjalankan aktiviti dengan bebas dan selesa.
Penyediaan petak tempat letak kereta OKU bukan sekadar melukis petak tempat letak kereta yang lebih besar.
Ia memerlukan banyak pertimbangan, dari kelandaian tanah, penyediaan “ramp” dan “railing” untuk golongan pengguna kerusi roda, dan sebagainya, supaya hak golongan OKU untuk bebas menjalankan aktiviti harian, menjadi warga yang produktif, dan mendapat akses kepada perkhidmatan terpelihara.
Kami percaya bahawa usaha yang dilakukan oleh pihak masjid, lain-lain pemilik premis dan juga pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan kemudahan untuk golongan OKU tidak patut disia-siakan sebegitu dan disalahguna oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab malah mempersenda golongan OKU.
Kami juga amat kesal bahawa tindakan Timbalan Presiden GAMIS berlaku di perkarangan masjid, padahal dia perlu menunjukkan contoh dan tauladan yang baik seperti nilai-nilai murni yang dipupuk dalam Islam.
Sementara politik anak muda hangat dibincangkan pada masa ini, DAPSY Damansara ingin tekankan bahawa politik muda itu juga merangkumi perspektif dan polisi yang lebih empati kepada cabaran masyarakat termasuk golongan OKU.
Biar kita membantu, bukan mempersenda.