DUA KALI MB PILIHAN MUHYIDDIN GAGAL DI JOHOR.SEKARANG ADA HATI LAGI NAK PILIH DI SABAH?

 

Bukan rahsia lagi dua bekas Menteri Besar Johor ketika era pemerintahan PH adalah datang daripada buah fikiran serta cadangan Muhyiddin Yassin yang akhirnya kedua-dua mereka berakhir dengan kegagalan.

Osman Sapian dan Dr Sahruddin Jamal ini adalah orang pilihan Muhyiddin memandangkan beliau merupakan ahli politik senior di negeri tersebut, selain kedudukannya sebagai Presiden Bersatu.

Mahu atau tidak, Muhyiddin perlu mengakui pilihannya itu adalah suatu kegagalan apabila kedua-dua orang kepercayaannya itu dilihat lemah dan gagal dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan baik di Johor.

Mereka berdua bukan sahaja tidak dapat mentadbir dengan baik, malahan kurang disenangi kerana beberapa isu berbangkit yang gagal diselesaikan dengan baik.

Malah, hubungan kerajaan negeri dengan Istana Johor juga agak renggang ketika era kedua-dua Menteri Besar pilihan Muhyiddin itu.

Pada PRN Sabah kali ini pula, Muhyiddin secara terbuka sudah menyatakan hasratnya berhubung calon Ketua Menteri pilihannya dan lebih menarik lagi keputusan tersebut dibuat tanpa berbincang bersama rakan sekutunya BN.

Nama yang dipilihnya adalah calon kerusi DUN Sulaman, Datuk Hajiji Noor yang juga merupakan Pengerusi Bersatu Negeri Sabah dan pilihannya itu dipercayai dibuat sebagai membalas jasanya mengembangkan parti itu ke negeri tersebut.

Walaupun dianggap parti baharu dan masih belum pernah diuji di Sabah, Muhyiddin dilihat memberikan kepercayaan penuh kepada Hajiji, walhal calon pilihannya itu adalah “katak” yang bertanding atas tiket UMNO semasa PRU14 lalu dan kemudian melompat menyertai Bersatu.

Hajiji sememangnya dilihat kurang berpengalaman dan tidak mempunyai pengaruh untuk menarik sokongan pengundi, lemah dalam komunikasinya serta terlalu mengharapkan bantuan daripada pemimpin Bersatu dari Semenanjung dalam kempen PRN Sabah ini.

Sepanjang tempoh berkempen, semua menteri daripada Bersatu seolah-olah dikerah untuk membantu Muhyiddin dan calon-calon Bersatu di mana segala macam bentuk program atau projek ternampak dikhususkan untuk mendapatkan undi.

Maka, ke sana ke sini lah menteri-menteri Bersatu turun membantu Muhyiddin bagi memenangkan Hajiji dan merampas semula Sabah daripada kerajaan Warisan.

Sememangnya Muhyiddin memerlukan kemenangan ini dan ia penting bagi survival politiknya sebagai Perdana Menteri, walhal risiko yang diambilnya dengan menamakan Hajiji adalah satu tindakan yang akan “membunuh persahabatan” antara partinya, Bersatu dengan UMNO yang dipimpin oleh Ahmad Zahid Hamidi.

Sekiranya di Johor pun Muhyiddin gagal dalam pemilihan calonnya, adakah kali ini kegagalan yang sama bakal berulang di Sabah?

Sama ada Hajiji akan memberikannya kemenangan atau kekalahan pasti akan memberi kesan politik yang besar buat dirinya.

Nasib Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebenarnya akan ditentukan pada 26 September ini, tarikh itu merupakan pertarungan hidup dan mati buat karier politiknya. (Shahbudindotcom 18/09/2020)