BN cari penyakit ketepikan Musa Aman di Sabah
Penganalisis menjangka Barisan Nasional akan menghadapi masalah dalam pilihan raya negeri Sabah pada 26 September ini kerana mengetepikan bekas ketua menteri Musa Aman.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, penyokong Musa mungkin akan membalas dengan meletakkan calon Bebas untuk memecahkan undi.
Beliau beritahu FMT bahawa wujud kemungkinan Musa sendiri akan bertanding sebagai calon Bebas.
Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, BN menolak sokongan kewangan untuk kempennya yang mungkin datang daripada kumpulan penyokong Musa.
Katanya, ada juga kemungkinan penyokong Musa beralih kepada PPBM.
Pengerusi jentera pilihan raya BN Sabah, Bung Moktar Radin, yang juga memimpin Umno negeri itu semalam mengumumkan bahawa Umno akan bertanding di 31 kerusi.
Musa adalah antara beberapa pemimpin Umno negeri yang tidak termasuk dalam senarai calon.
Selain beliau, yang dilihat berpihak kepadanya, termasuk ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan, Ketua Wanita Umno Papar Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Wanita Umno Sabah Jainab Ahmad Ayid.
Pada sidang media parti itu Bung berkata, Umno menghormati semua pemimpin, termasuk Musa, tetapi menambah bahawa bekas ketua menteri itu tidak pernah meminta untuk menjadi calon BN.
Azman berkata, Bung memperlihatkan keberanian untuk tidak memasukkan nama Musa dalam senarainya, tetapi percaya Bung mengambil risiko.
“Ini kerana semua orang tahu Musa adalah ‘panglima perang’ yang sangat kuat,” katanya.
“Musa perlu dibawa ke meja perbincangan dan ditempatkan dalam posisi yang strategik untuk mengelakka beliau berasa tidak gembira.”
Tetapi beliau juga berkata, Musa lebih dilihat sebagai calon untuk jawatan gabenor Sabah dan adalah lebih baik sekiranya beliau tidak terlibat dalam pilihan raya pilihan raya dan membiarkan muka baru muncul.
Lee berkata, kebanyakan calon yang disenaraikan adalah pendatang baru dan nampaknya Umno mahu menyuntik darah muda ke dalam persaingan itu.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk bergerak dan meletakkan muka baru, beri lebih banyak ruang kepada pemimpin muda,” katanya.
Azman bersetuju dengan berkata, terlalu banyak pemimpin lama boleh “menimbulkan kekacauan” apabila mahu menentukan siapakah ketua menteri jika BN memenangi pilihan raya.
Beliau berkata pemimpin seperti Rahman dilihat sebagai pesaing kuat Bung untuk menjadi ketua menteri berikutnya.
Beliau berkata, Rahman baru-baru ini mengetuai sekumpulan pemimpin bahagian Umno Sabah untuk membantah pelantikan Bung sebagai pengerusi jentera pilihan raya BN Sabah.
“Rahman tidak akan mendapat sebarang bantuan daripada Bung keranausahanaya untuk menguasai politik,” katanya.
“Juga, karier politiknya terhalang kerana kalah dalam pilihan raya umum lalu. Jadi suara beliau dianggap kurang relevan.”
Lee berkata bekas menteri persekutuan Salleh Said Keruak, yang akan bertanding di Usukan dengan tiket BN, juga merupakan calon yang berpotensi untuk jawatan ketua menteri.