Hairan mengapa Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih tidak melakukan sebarang siasatan ke
atas Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz berhubung kontroversi
surat sokongan supaya anaknya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan
Eng berkata tindakan Ikmal itu jelas menyalahguna kuasanya dan mengamalkan
gejala nepotisme, bertentangan dengan prinsip SPRM.
"SPRM mesti menjelaskan
mengapa tiada tindakan dikenakan kepada Ikmal yang menulis surat sokongan untuk
melantik anaknya sendiri sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga.
"Ini adalah satu gejala
salah guna kuasa, rasuah dan nepotisme yang berlaku dalam kerajaan Perikatan
Nasional," katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen
Bagan berkata, walaupun Ikmal memohon maaf, beliau jelas mengaku bahawa
perbuatan itu adalah salah di sisi undang-undang.
"Dalam surat sokongan
Menteri Pertahanan, Datuk Ismail Sabri Yaakob sendiri menyatakan persetujuan
untuk melantik anak Ikmal. SPRM perlu menyiasat dan mengambil tindakan kerana
Ikmal akan menguntungkan anaknya sendiri dengan menggunakan kedudukan sebagai
timbalan menteri.
"Beliau bukan sahaja
mengaku salah, malah mengaku tindakannya itu salah dan menarik balik surat
sokongan.
"Ini jelas melanggar salah
satu kesalahan dalam SPRM iaitu meminta rasuah atau habuan dan sudah terlambat
untuk Ikmal menafikan tanggungjawab beliau yang menyalahgunakan kedudukan.
"Malah tindakan tersebut
lengkap apabila Ismail bersetuju melantik anak Ikmal. Ini merupakan kesalahan
tiga dalam satu, salah guna kuasa, nepotisme dan rasuah," katanya.
Justeru, Guan Eng menggesa SPRM
bertindak segera bagi mengelakkan lebih banyak salah laku dalam kerajaan PN
pada masa akan datang.
"Ini satu malapetaka
negara, apabila jawatan awam digunakan untuk kepentingan peribadi.
"Setakat ini, tiada berita
dari SPRM akan ambil tindakan. Semua orang adalah sama di sisi undang-undang
tidak kira kalau seseorang itu adalah orang kenamaan atau rakyat biasa.
"SPRM harus mengambil
tindakan segera untuk menunjukkan mereka tidak mengamalkan double standard atau
pilih kasih," katanya.