Akta anti-lompat parti mesti disokong semua pihak - Johari Abdul



Sekiranya Malaysia ingin mengorak langkah lebih jauh dalam pencapaian ekonomi pada masa akan datang, Parlimen harus meluluskan Rang Undang-undang (RUU) anti lompat parti untuk mewujudkan kerajaan yang lebih stabil.

Menurut Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang merupakan salah seorang anggota kaukus Parlimen bagi mengkaji RUU anti lompat parti, pemantapan undang-undang pilihan raya sedia ada perlu dilakukan agar tidak menakutkan pelabur menanam modal menghadapi keadaan politik yang tidak menentu.

"Kaukus ini idea daripada Inter Parlimen Union (IPU) Malaysia yang dipengerusikan oleh YB Anthony Loke. Mereka memanggil wakil-wakil parti seperti Nazri Aziz (Umno) Halimah Sidek (umno), saya (KEADILAN) wakil Amanah, GPS dan lain-lain.

"IPU bersetuju menubuhkan satu kaukus untuk membincangkan undang-undang pilihan raya berhubung tindakan melompat Ahli Parlimen, yang mana tindakan ini dianggap oleh Datuk Nazri sebagai tidak bermoral dan boleh menjatuhkan kerajaan. Akibat jatuhnya kerajaan itu, politik negara tidak stabil dan pelabur tak berani masuk

"Oleh itu, IPU bersetuju untuk kita tubuhkan jawatankuasa yang akan berperanan untuk mengkaji anti lompat parti," katanya.

Namun Johari mengakui RUU tersebut bukan mudah kerana mengadapi Perlembagaan Persekutuan, seperti Perkara 10 yang memberi kebebasan kepada setiap rakyat menganggotai pertubuhan.

Juga, katanya terdapat kes mahkamah sebelum ini yang mana wakil rakyat diputuskan oleh mahkamah boleh memilih parti lain selain yang dianggotainya ketika dipilih sewaktu pilihan raya.

"Dalam hal ini kena ada satu perbincangan, kita telah pun mengatakan kita perlu satu undang-undang, iaitu mewujudkan undang-undang baru atau kembali melihat undang-undang pilihan raya yang kita ada

"Sebab itu kita beri masa dalam 6 bulan untuk kaji dan tubuhkan sekretariat dan Datuk Nazri telah pun dipilih untuk menjadi pengerusi kaukus

"Kita akan melihat apa undang-undang yang terlibat, jika melibatkan akta maka kita memerlukan simple majoriti untuk diluluskan di Parlimen. Tetapi mungkin juga melibatkan pindaan Perlembagaan yang memerlukan undian 2/3," katanya lagi.

Bagaimanapun, Johari optimis sekiranya kaukus mengemukakan cadangan maka semua parti akan menyokong kerana mana-mana parti yang tidak menyokong akan dianggap rakyat sebagai merestui amalan melompat parti.

"Saya yakin kalau kita perkenalkan rang undang-undang meminda akta pilihan raya atau pinda Perlembagaan tidak ada parti akan menentang kerana jika menentang, maknanya siapa juga wakil rakyat yang menentang dia bersetuju orang yang menang atas sesuatu parti itu melompat. Rakyat akan menjadi penilai kepada pandangan beliau (dalam PRU)," katanya lagi.

Penubuhan kaukus pada 18 Ogos lalu telah dimaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan telah mendapat persetujuan daripada Barisan Nasional (BN), PAS, DAP, GPS dan KEADILAN. Kaukus dipengerusikan oleh Ahli Parlimen BN Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz Abdul Aziz.