Lima tertuduh kes pencemaran Sungai Gong dibenar ikat jamin RM400,000 seorang oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
SHAH
ALAM: Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki
jentera berat yang didakwa berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam
Sungai Gong, Rawang, masing-masing dibenarkan diikat jamin RM400,000 dengan
seorang penjamin oleh Mahkamah Tinggi hari ini.
Pesuruhjaya
Kehakiman Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan
permohonan semakan 4 ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik, Yip Kok Wai,
53, Yip Kok Mun, 58, Yip Kok Kuin, 50 dan Yip Kok Wong, 60, serta pengurus
bengkel berkenaan, Ho Voon Leong, 59, terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang
tidak membenarkan mereka diikat jamin.
Beliau
turut memerintahkan kelima-lima lelaki itu menyerahkan pasport masing-masing
kepada mahkamah dan memberi amaran sekiranya mereka melakukan kesalahan ketika
dalam tempoh jaminan, mahkamah akan menarik perintah jaminan itu.
Dalam
penghakimannya, Norsharidah berkata beliau mengambil kira faktor seperti
keseriusan kesalahan dihadapi semua tertuduh selain faktor kesihatan mereka
serta bahaya yang menanti sekiranya kesalahan diulangi.
“Ini adalah kes serius
yang mendapat perhatian ramai, oleh itu mahkamah membenarkan semua yang
tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM400,000 setiap seorang dengan seorang
penjamin, selain syarat tambahan semua tertuduh perlu serahkan pasport kepada
mahkamah, dan jika kesalahan dilakukan ketika dalam tempoh jaminan, mahkamah
akan tarik balik jaminan,” katanya.