PRU AWAL SELEPAS PRK SLIM?


Minggu lepas, ketika berucap dalam satu program kempen PRK Slim, Presiden UMNO, Zahid Hamidi membayangkan PRU akan diadakan dalam tempoh 100 hari akan datang.
Kata beliau, itu adalah jangkaannya berdasarkan perkembangan semasa politik negara sekarang ini.
Oleh itu, Zahid Hamidi mahu jentera UMNO dan BN sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan tersebut.
Semalam pula, Zahid Hamidi menegaskan, PN seperti tidak ada pilihan lain kecuali mengadakan PRU awal bagi membentuk kerajaan yang lebih kukuh.
Beliau berkata, sokongan tipis PN di Parlimen – hanya 111 kerusi berbanding 109 di pihak pembangkang membuatkan PN dilihat tidak stabil dan akan terus dipersenda sebagai kerajaan pintu belakang.
“Kita tidak ada pilihan melainkan memperoleh mandat baru daripada rakyat untuk elakkan tuduhan berterusan.
“Kerajaan sekarang mesti mengembalikan hak memilih kerajaan dan kuasa rakyat membuat pilihan,” tambahnya lagi.
Setiausaha Agung BN, Annuar Musa dalam konteks yang sama berkata, meskipun PRU15 sepatutnya diadakan tiga tahun lagi namun kerajaan wajar mempertimbangkan agar ia diadakan lebih awal.
“Hatta jika perlu, boleh diadakan tahun ini juga supaya rakyat berpeluang membetulkan segala kepincangan Pakatan Harapan (PH) sejak PRU ke-14 yang merupakan igauan buruk buat rakyat Malaysia,” tulisnya di laman Twitter.
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah tidak terkecuali bersuara dengan menyarankan agar pemimpin UMNO segera menarik diri daripada terus berada dalam kerajaan PN.
Ini kerana, katanya, tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam “pakatan Melayu-Islam yang didukung Muafakat Nasional (MN)”.
“UMNO tidak pernah menjadi anggota kerajaan PN, sebaliknya hanya memberi sokongan untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.
“Dengan berlakunya perubahan yang diumumkan oleh Bersatu, wajar ahli-ahli UMNO yang menganggotai kabinet berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan yang dipimpin Muhyiddin Yasssin,” tegasnya dalam suatu kenyataan.
Jika diteliti dan diperhalusi, semua kenyataan pemimpin UMNO di atas adalah menjurus kepada dua perkara – UMNO tidak mahu Muhyiddin berada lebih lama lagi sebagai Perdana Menteri dan UMNO inginkan pilihanraya awal diadakan segera.
Semua itu pula menjurus kepada satu perkara iaitu UMNO sudah tidak sabar mahu merampas kerusi Perdana Menteri yang sekarang diduduki Muhyiddin.
Sebab itu, walaupun di sebalik UMNO tidak menyertai PN dan kemudian bersetuju mempelawa Bersatu menganggotai MN, parti itu kekal dengan pendirian tidak mahu berkompromi dari segi pembahagian kerusi.
Khusus UMNO berkeras menolak untuk berbahagi kerusi ialah dengan Kumpulan Hamzah Zainuddin dan Kumpulan Azmin Ali yang kedua-duanya dilihat sedang mengepung pengaruh serta kuasa Muhyiddin sekarang ini.
Difahamkan UMNO hanya sedia bertolak ansur dengan jumlah kerusi asal yang dimenangi Bersatu dalam PRU14 lalu iaitu 13 kawasan Parlimen.
Selebihnya, UMNO mahu bertanding semua kerusi tersebut.
Dengan tidak menyertai PN, tetapi Bersatu yang masuk ke dalam MN, UMNO dipercayai akan menggunakan platform tersebut untuk menekan Muhyiddin dalam usaha mencapai cita-cita parti itu kembali berkuasa.
Malah, jika kesepakatan gagal dicapai dengan Bersatu, UMNO diberitakan tidak sama sekali akan beralah dan yakin kerjasama dengan Pas saja pun sudah memadai untuk mencapai kemenangan.
Ditambah dengan kedudukan Bersatu yang semakin goyah di mana ramai ahlinya beralih menyertai Pejuang serta tekanan berterusan Tun Mahathir terhadap Muhyiddin, UMNO bahkan yakin peluang mereka kembali berkuasa lebih cerah jika PRU awal diadakan dalam tempoh yang tidak terlalu lama daripada sekarang.
Adakah ini bermakna selepas PRK Slim, UMNO akan berbuat sesuatu yang lebih drastik untuk memaksa Muhyiddin mengadakan PRU awal dengan segera?
 (Shahbudindotcom 29/08/2020)