PRU 15: NGO pro PH siap sedia lawan PN
Gabungan NGO-NGO Reformis Malaysia (GRM) siap sedia membantu Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang bakal berlangsung pada bila-bila masa.
Menurut Setiausaha Agung Jingga 13 Malaysia, Afzainizam Rahman, bantuan NGO kepada PH pada PRU kali ini akan terus mantap demi memastikan perjuangan rakyat bagi membina Malaysia yang lebih baik diteruskan.
“Kita dengar spekulasi PRU 15 tidak lama lagi, ada yang kata bulan ini, bulan depan. Namun PRU akan pasti berlaku sebelum 2023.
“Persiapan utama yang perlu dilakukan oleh GRM dan NGO-NGO lain ialah memperkemaskan jentera kita. Kita tidak boleh lagi bercakap politik tetapi tidak melakukan tindakan.
“Semua NGO yang menyokong perjuangan rakyat perlu bergerak. Dan kami dalam GRM memang menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar serta mengharapkan beliau menjadi perdana menteri (dalam PRU kali ini).
“Tetapi reform bukanlah laungan semata. Reformasi perlu turun ke bawah. Oleh itu saya mahu kawan-kawan dalam media sosial tolong bantu berkhidmat (kepada masyarakat). Begitu juga kerajaan negeri tolong jalankan perkhidmatan terbaik, tunjuk kebolehan kerajaan negeri kepada rakyat,” katanya dalam forum yang dianjurkan GRM baru-baru ini.
Selain itu, Afzainizam turut menggesa Ahli-Ahli Parlimen PH yang sedang bersidang di Parlimen pada sesi Julai – Ogos agar membangkitkan isu-isu rakyat yang tular di media sosial supaya dilihat proaktif dalam memperjuangkan agenda kemasyarakatan.
Di samping itu, beliau menasihati pejuang-pejuang media sosial agar menghulurkan tangan membantu jentera pilihan raya PH ketika pelbagai pengkhianatan sedang berlaku melemahkan perjuangan Reformasi.
“Saya mengesyorkan di Parlimen, para pembuat dasar kita melihat input yang rakyat bualkan di media sosial. Isu tular perlu diangkat ke Dewan Rakyat supaya rakyat melihat kita boleh menawarkan agenda yang lebih baik serta mengiktiraf kemampuan Ahli Parlimen mendesak kerajaan.
“Dengan itu rakyat akan memberi kepercayaan kepada PH untuk membentuk Malaysia yang lebih baik.
“Manakala bagi kawan-kawan yang masih tertanya-tanya apa perlu mereka lakukan, mereka perlu pergi ke setiap Cabang parti dan mendaftar sebagai sukarelawan. Pimpinan negeri sudah umumkan untuk mengaktifkan jentera pilihan raya. Jadi kita bantu memperkuat gerak kerja peringkat bawahan,” katanya lagi.
Utuk rekod, Jingga 13 yang diasaskan oleh pemimpin KEADILAN Terengganu, Fariz Musa begitu banyak membantu KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam PRU 13 lalu.
Kini Jingga 13 menyertai GRM, membentuk gabungan 10 NGO Reformasi bergerak untuk memastikan kemenangan PH dalam PRU 15.