Setelah 60 tahun Malaysia merdeka, persoalan yang
membelenggu rakyat masih lagi seputar ketidak puasan hati antara kaum.
Bagi Profesor Dr Razali Nawawi (gambar kanan), ada sesuatu yang tidak kena dalam
gerakan politik di negara ini apabila setelah 6 dekad berlalu namun masalah
utama hubungan antara kaum tidak selesai.
Katanya, rakyat memerlukan gerakan membetulkan
minda, bukannya membakar emosi secara berterusan sebagaimana yang diamalkan
parti-parti politik pemerintah.
"Sudah 60 tahun kita merdeka, semua tahap,
semua kumpulan, tidak kira di bandar mahu pun luar bandar masih lagi
membincangkan rasa tidak puas hati
"Orang Melayu tak puas hati, Cina tak puas
hati, India tak puas hati. Akhirnya masing-masing bertanya kenapa kita jadi
macam ini? Mengapa tak puas hati?
"Sebelum ini, kita buat gerakan menuntut
kemerdekaan, selepas merdeka kita ada gerakan mengisi kemerdekaan. Tetapi ia
hanya menggerakkan perasaan, bukan minda. Maka tidak ada perubahan minda
rakyat.
"Analisa saya, dari dulu kita hanya
menyemarakkan emosi. Kita bakar emosi. Tak selamat Melayu, kita bakar emosi
Melayu. Tak selamat Islam, kita bakar emosi orang Melayu terhadap Islam. (Itu
sahaja yang dicapai)," katanya dalam forum bertajuk 'Gagasan Reformasi
Dalam Al Quran dan Sunah' yang dianjurkan oleh Gabungan Reformasi Malaysia
(GRM) baru-baru ini.
Menurut Dr Razali, gerakan membakar emosi tidak
akan kekal lama jika tanpa pengisian. Katanya, Allah dan Rasullullah
mengajarkan orang Islam membetulkan minda dan hati budi. Namun parti-parti
politik Melayu-Islam di Malaysia tidak bergerak ke arah itu, sebaliknya
mengelirukan penyokong dalam retorik perjuangan mereka.
"Sekarang ada atau tidak gerakan membetulkan
minda, mentazkiyahkan hati nurani rakyat Malaysia? Gerakan betulkan minda yang
kucar kacir. Menetapkan ke mana arah tuju Malaysia?
"Dulu gerakan tuntut merdeka, selepas itu isi
kemerdekaan. Sekarang apa? Kita lihat gerakan yang ada ialah 'mengisi perut'.
Berapa lama lagi pun kita akan jadi macam ini jika kita tidak memikirkan
perubahan struktur," ujarnya lagi.
Oleh itu, Dr Razali tidak bersetuju terhadap
ahli-ahli politik yang membakar emosi rakyat menggunakan isu-isu sensitif untuk
suvival mereka. Sedangkan menurut beliau, kesannya terhadap masa hadapan negara
amat negatif.
"Ada parti politik hidup atas kemiskinan
penyokong. Saya tak tau parti mana, tetapi ada parti yang hidup seperti itu.
Dekat nak pilihan raya maka hantar beberapa keping atap zink untuk membaiki
rumah bocor," sinisnya lagi.
Sehubungan itu, Dr Razali menganjurkan diamalkan
politik yang lebih matang dan mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding
keuntungan sementara atau kelangsungan sesebuah pemerintahan.
Untuk rekod, Prof Dr Razali Nawawi merupakan
penyokong kuat gerakan Reformasi yang dilancarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim
sejak 1998.
Beliau merupakan Presiden pertama ABIM pada
pemilihan kepimpinan tahun 1972, yang mana ketika itu Anwar dilantik sebagai
Setiausaha Agung.
Forum anjuran GRM dengan moderator Mustaffa Kamil
Ayub (gambar kiri) diadakan pada setiap hari Rabu, jam
9.00 malam dan disiarkan secara langsung di Facebook Gabungan Reformis
Malaysia.