PESANAN UNTUK MUHYIDDIN.JANGAN BAWA BERSATU SERTAI MN...TETAPI...


Walaupun mungkin betul Muafakat Nasional yang mempelawa Bersatu untuk menyertai gabungan tersebut, tetapi Muhyiddin Yassin tidak harus tergesa-gesa menerimanya.
Ini kerana MN adalah gabungan yang mana UMNO adalah “abang besarnya” dan jika Bersatu menjadi anggota barunya, bermakna parti itu akan berada di bawah telunjuk UMMO.
Dengan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, keadaan tersebut hanya akan merendahkan tarafnya.
Bayangkan, dalam kerajaan beliau adalah Perdana Menteri dan mempengerusikan mesyuarat, tetapi di dalam MN terpaksa duduk di sebelah Presiden UMNO.
Bersatu hanya relevan untuk berada dalam MN sekiranya gabungan itu, khususnya UMNO, sedia menjadikan Muhyiddin sebagai Pengerusi atau mengepalai gabungan tersebut.
Dalam kedaaan tersebut, barulah kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tampak dihormati, selain memberi lebih kuasa kepadanya dalam soal pembahagian kerusi antara ketiga-ketiga parti yang bersaing untuk berebut kawasan Melayu yang sama.
Tetapi, sediakah UMNO memberi laluan?
Begitu pun, yang lebih afdal dan cantik ialah, sesuai dengan kedudukan Perikatan Nasional atau PN sebagai kerajaan dan Muhyiddin sendiri diterima sebagai Perdana Menteri oleh semua parti dalam gabungan yang belum didaftar itu, beliau harus menjadikan ianya sebagai gabungan baru yang sah seperti BN atau PH.
Sekali lagi, dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin mesti bertegas dengan semua parti yang berada dalam kerajaan sekarang agar setuju atau wajib menyertai PN untuk bersama-sama mempertahankan kerajaan serta menghadapi PRU15 akan datang.
PN yang menjadi kerajaan sekarang tidak harus hanya menjadi gabungan yang sementara dan ada pula parti tertentu, seperti UMNO misalnya, berpendirian enggan menyertainya.
Jika tidak mahu menyertai PN, kenapa masih terhegeh-hegeh duduk dalam kerajaan PN?
Dengan menjadikan PN sebagai gabungan rasmi dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri secara automatiknya mengetuainya, maka barulah, bukan saja kedudukan Muhyiddin dapat diiktiraf secara menyeluruh dalam mengetuai kerajaan dan gabungan politik secara serentak, malah mampu memberi lebih keyakinan lagi kepada rakyat untuk memberi sokongan.
Lagi pula, jika semua parti yang berada dalam kerajaan PN dapat menerima Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tidak masuk akal kiranya masih ada parti yang enggan menerimanya sebagai ketua untuk menghadapi PRU15 akan datang.
Ditambah dengan kedudukan Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang berdepan hampir 100 kes mahkamah, Muhyiddin adalah calon paling layak untuk berdepan dengan PH dalam sebuah pertempuran.
Untuk menjadikan itu sebagai kenyataan, tentulah lebih mudah dengan menjadikan PN sebagai gabungan politik yang sah, bukan dengan mengajak Bersatu, parti yang diterajui Perdana Menteri menyertai MN.
Lagi pula, berbanding MN yang dianggotai UMNO dan Pas, PN yang disertai pelbagai parti, termasuk dari Sabah dan Sarawak, jauh sesuai untuk berdepan PH dalam PRU15 nanti.
Yang perlu hanyalah Muhyiddin mesti ada ketegasan dalam menjadikan PN sebagai gabungan politik baru yang sah untuk mentadbir negara, bukan saja sekarang tetapi juga untuk masa mendatang.
Kalau sebelum ini Perikatan berjaya ditukar kepada BN, tiada ada sebab PN tidak boleh direalisasikan sebagai gabungan politik yang baru untuk mentadbir negara ini.
Tambahan lagi, berbanding dengan MN yang meletakkan kedudukan Kumpulan Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali dalam keadaan tidak menentu, sebaliknya menjadikan PN sebagai gabungan sah yang diketuai Muhyiddin, beliau dengan sendirinya berupaya memastikan kedua-dua kumpulan penyokong kuatnya itu dapat dipertahankan tempat yang sesuai untuk terus bertanding lagi.
Bagaimana dengan Pas?
Oleh kerana Pas sedang syok dengan nikmat jawatan dalam kerajaan, parti itu pasti lebih memihak kepada Muhyiddin dan PN berbanding MN.
Yang perlu sekarang hanyalah lebih ketegasan daripada Muhyiddin dan sebagai Perdana Menteri, beliau tidak harus mengalah atau tunduk terhadap sebarang ugutan serta ancaman untuk menghancurkan PN, lebih-lebih lagi daripada mereka yang sedang berdepan banyak kes di mahkamah. (Shahbudindotcom 03/08/2020)