Walaupun desakan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah agar pemimpin UMNO yang berada dalam kerajaan segera meletakkan jawatan langsung tidak mendapat sambutan ketika ini,!ia tidak bermakna kedudukan Muhyiddin Yassin akan selamat buat selama-lamanya.
Tengku Razaleigh membuat desakan itu berikutan Bersatu telah bersetuju menukar wajahnya daripada parti Melayu dan Pribumi kepada parti pelbagai kaum.
Bagi Ku Li, dengan perubahan itu, Bersatu tidak layak lagi berada dalam pakatan Melayu/Islam Muafakat Nasional yang didukung oleh UMNO dan Pas.
“Dengan berlakunya perubahan yang diumumkan oleh Bersatu, wajar pemimpin UMNO yang menganggotai kabinet berundur daripada kerajaan sekarang,” ujar beliau dua hari lalu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, tindakan keluar dari kabinet itu perlu dilakukan secepat mungkin.
“Ini patut dilakukan secepat mungkin supaya kita tidak membuang masa dan dapat memberi tumpuan kepada masalah-masalah yang lebih besar seperti kedudukan anak muda yang susah mencari pekerjaan dalam keadaan kita menghadapi pandemik Covid-19 yang mengancam negara pada masa ini,” tambah beliau.
Jika diperhalusi, desakan Ku Li itu adalah bertujuan agar kerajaan PN tumbang dengan sendirinya, Muhyiddin dijatuhkan dan PRU awal dapat diadakan dengan segera.
Desakan beliau itu sebenarnya selari dengan kenyataan beberapa pemimpin UMNO, termasuk Zahid Hamidi, Najib Razak dan Annuar Musa tentang perlunya Muhyiddin mengadakan PRU awal bagi mendapat mandat baru yang lebih selesa.
Di sebalik desakan PRU awal itu, baik oleh Zahid Hamidi, Najib dan khususnya Ku Li, ia sebenarnya adalah bertujuan untuk membolehkan UMNO dapat lebih awal menerajui semula Putrajaya sepertimana era BN dahulu.
Tetapi, nampaknya pemimpin UMNO yang ada jawatan dalam kerajaan sekarang lebih sayangkan kedudukan peribadi mereka berbanding masa depan parti.
Apakah mereka tidak sedar apabila UMNO kembali menerajui Putrajaya nanti dan pemimpin UMNO sendiri menjadi Perdana Menteri, lebih banyak kelebihan boleh diperolehi?
Tidakkah juga mereka sedar bahawa dengan Muhyiddin daripada Bersatu menduduki kerusi Perdana Menteri sekarang, UMNO hanya berada di kelas kedua dalam kerajaan di mana bukan saja UMNO tidak diberikan kerusi Timbalan Perdana Menteri dan kementerian yang penting, bahkan dua menteri kanan telah dilantik daripada Bersatu?
Begitu pun, dalam hal ini, oleh kerana desakan Ku Li itu yang bermaksud agar PRU awal dapat segera diadakan tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pemimpin UMNO yang nampaknya lebih mementingkan kedudukan peribadi berbanding maruah parti, ia juga sebenarnya adalah peluang keemasan untuk bekas Menteri Kewangan itu menonjolkan dirinya sebagai hero.
Ku Li kini tidak perlu lagi mengharapkan sesiapa yang lain untuk melakukan apa yang didesaknya itu, sebaliknya beliau sendiri mesti memulakannya.
Oleh kerana kedudukan majoriti PN di Parlimen hanya ada dua undi, Ku Li kini perlu mencari tiga atau empat Ahli Parlimen untuk bersamanya mengumumkan menarik diri daripada menyokong Muhyiddin.
Tindakan menarik sokongan itu akan segera membuatkan PN tumbang dan Muhyiddin tiada pilihan lain selain terpaksa membubarkan Parlimen untuk diadakan pilihanraya semula.
Melalui pilihanraya semula di mana Najib tidak boleh bertanding dan Zahid Hamidi masih berdepan 87 kes mahkamah yang belum selesai, Ku Li sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO secara automatik berada di senarai paling atas sebagai calon Perdana Menteri.
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan mungkin belum sesuai dinamakan sebagai calon Perdana Menteri kerana tiada pengalaman pentadbiran di peringkat persekutuan.
Lebih daripada itu, tindakan berani Ku Li menarik sokongan terhadap Muhyiddin sehingga Parlimen terpaksa dibubarkan sudah tentu akan membuatkan namanya dijulang dan disanjung tinggi oleh seluruh warga UMNO.
Oleh itu, apabila UMNO berjaya memenangi jumlah kerusi yang terbanyak dalam PRU awal yang diadakan, Ku Li dengan sendirinya akan dianggap sebagai hero dan penyelamat kepada UMNO serta paling sesuai menjadi Perdana Menteri.
Kemudian, dalam usianya sekarang, setelah menjadi Perdana Menteri untuk setahun dua atau sehingga PRU seterusnya, beliau masih mempunyai masa untuk menyusun dan melatih pemimpin pelapis untuk menggantikannya.
PRU awal juga adalah detik terbaik melemaskan kedudukan Bersatu, malah Muhyiddin sendiri di Pagoh dengan beribu-ribu ahli Bersatu keluar parti, turut sukar untuk mengekalkan kemenangannya.
Kalau kedudukan Muhyiddin pun belum tentu, nasib Hamzah Zainuddin, Azmin Ali dan lain-lain daripada Bersatu lagilah lebih gelap jadinya.
Maka, ayuhlah Ku Li…jangan dilepaskan keemasan yang sedang terbentang sekarang ini!!
(Shahbudindotcom 31/08/2020)