Datuk Seri Anwar Ibrahim
menyeru rakyat supaya terus bangkit melawan sebarang kezaliman dan penindasan
yang berlaku di negara ketika ini, meskipun sudah 63 tahun mencapai
kemerdekaan.
Presiden KEADILAN itu
berpandangan, meraikan kemerdekaan bukan sekadar pada tarikh 31 Ogos ataupun
meraikan kejayaan menyingkirkan penjajah.
Sebaliknya, kemerdekaan juga
membawa erti menolak sikap kezaliman pemimpin dan penindasan terhadap rakyat.
"Yang kita tolak bukan
orangnya. Yang kita tolak itu perangainya. Kezalimannya. Rasuahnya.
Rompakannya. Penindasannya.
"Sekarang sudah merdeka,
apa kita hanya mahu ganti orang Inggeris dengan orang Melayu tapi perangainya
lebih kurang sama?" katanya ketika menghadiri majlis pelancaran Bulan
Kemerdekaan Ke-63 peringkat KEADILAN Negeri Sembilan.
Anwar yang juga Ahli Parlimen
Port Dickson mempersoalkan sama ada janji-janji merdeka satu masa dahulu selari
dengan perubahan yang berlaku pada zaman ini.
"Dahulu, kemerdekaan
dituntut supaya kita boleh menjadi negara yang menegakkan demokrasi,
kesaksamaan dan keadilan. Itu sumpah keramat Tunku Abdul Rahman.
"Ia juga pernah dicatat
dalam tulisan jawi di surau dan masjid dan ada tulisan khat cukup berseni di
sekolah supaya semua rakyat boleh membacanya. Tetapi ia harus memberi makna.
"Ada orang melihat bahawa
keadilan itu bermakna menggantikan penjajah dengan pemimpin bumiputera, tak
semestinya tepat. Ia seharusnya mesti diganti dengan rakyat sendiri.
"Ia mesti didokong dengan
cita-cita dan nilai baru bagi menjaga kesejahteraan semua," katanya.
Dalam pada itu, Anwar meluahkan
rasa bimbang terhadap jurang kemiskinan negara yang masih belum dapat ditangani
dengan sewajarnya.
"Kita tolak penjajah sebab
ekonomi dikuasai segelintir orang berkuasa dan kroninya keluarganya kawannya
semua kaya-raya. Rakyat seperti petani miskin terus terbiar.
"Saya bukan nak nafikan
bahawa sepanjang 63 tahun merdeka seolah-olah tidak ada perubahan tapi kita
perlu nilai dari sudut janji merdeka.
"Kita janji akan ada
ekonomi kesaksamaan tapi jurang kaya dan miskin terus melebar.
"Malah, jurang orang
Melayu kaya dan Melayu miskin makin melebar dan kita berjanji untuk
mengurangkan kesenjangan tetapi itu tidak berlaku.
"Sebab apa? Sebab dasar
negara ketika ini tidak membantu kepentingan golongan bawah. Ini harus diberi
kesedaran kepada rakyat," katanya.
Anwar sempat menggunakan
ungkapan daripada pujangga Jawa yang terkenal, Ranggawarsita sebagai peringatan
kepada rakyat.
"Yang baik masuk penjara,
yang bobrok jadi penguasa. Jadi rakyat harus bikin apa? Rakyat harus eling lan
waspodo.
"Ia bermaksud rakyat mesti
beringat, berwaspada, jangan ditipu dan jangan ditindas. Jangan jadi tali barut
peringkat bawah.
"Sukarno pernah
menjanjikan jambatan emas buat rakyatnya, bunyinya memukau. Maknanya dari
keadaan sengsara dan derita di zaman penjajah kepada bebas merdeka, berdaulat,
makmur dan saksama.
"Tapi itu tidak berlaku,
jadi jangan kita terpukau dengan janji," katanya.