Malaysia belum merdeka selagi mesra rasuah, kronisme, penindasan
Merdeka bermakna bebas dari penindasan, korupsi, perkauman – Anwar
Rakyat Malaysia masih belum merdeka sekiranya hanya mengutamakan sambutan ulang tahun peringatan 31 Ogos 1957 tetapi tidak mengerti falsafah sebenar kemerdekaan berkenaan.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemerdekaan sebenar ialah bebas dari penjajah berkulit putih dan bebas pula dari penjajah anak bangsa sendiri yang merompak harta negara dan menindas kebebasan bersuara.
“Tanggal 31 Ogos setiap tahun terungkap sebagai hari besar di mana negara ini bebas dari cengkaman dan kebobrokan penjajah yang menjarah hasil negara. Ia hanya bermatlamat untuk memperkukuh imperialisme dan dominasi ke atas warga tempatan.
“Makanya merdeka tidak hanya slogan. Merdeka tidak hanya rasa gembira atau patriotik memasang bendera Malaysia di rumah-rumah atau kenderaan masing masing.
“Merdeka adalah janji atau tekad yang mencakup persoalan kebebasan dan keadilan kepada semua kaum. Apa makna merdeka jika rata-rata warga dan rakyat negara ini masih dirundung kemiskinan? Apa erti merdeka jika jurang miskin dan kaya terus dibiar melebar dan elit politik terus menampuk kekayaan?” tanyanya dalam satu kenyataan.
Menurut Anwar, bangsa Malaysia tidak akan merdeka selagi mana berasa senang dan menerima baik penguasa yang rasuah, mengutamakan kronisme, mengapi-apikan isu perkauman serta menjadikan agama sebagai senjata politik.
“Mengulangi sikap rasuah, kepincangan, kebobrokan dalam aspek tatakelola; apakah itu boleh dikatakan memaknai semangat merdeka?
Dan apa maksud merdeka sekiranya rakyat atau warga di negara ini terus mencurigai antara satu dengan yang lain?
Dan apa maksud merdeka sekiranya rakyat atau warga di negara ini terus mencurigai antara satu dengan yang lain?
“Mari kita jadikan dan raikan merdeka pada tahun yang serba luarbiasa ini dengan tekad dan semangat yang luar biasa. Bahawa jangan lagi kita tanam kebencian atau cuba menimbulkan titik curiga antara kaum.
“Kita punya visi besar untuk tanah air tercinta yakni untuk membangun Malaysia yang serba baru, baik dari segi pemikiran, perekonomian, tadbirurus dan sikap.
“Selamat menyambut Hari Merdeka kepada seluruh anak watan,” katanya lagi.
Tahun ini Malaysia menyambut Hari Kebangsaan yang ke 63 di tengah-tengah suasana pandemik Covid 19, ketidaktentuan ekonomi dan politik yang bergolak.