Langgar kuarantin: Hanya letak jawatan reda kemarahan rakyat
EDY NOOR REDUAN
Menteri Langgar SOP Kuarantin – Hanya Perletakkan Jawatan Menteri dan Ahli Parlimen Mampu Meredakan Kemarahan Rakyat
1. Beberapa laporan media telah menyebut Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
2. Menurut Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menteri terbabit telah melalui ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan didapati negatif pada 7 Julai susulan lawatan ke Turki.
3. Sepatutnya walaupun hasil keputusan didapati negetif, Mohd Khairuddin perlu melalui kuarantin di rumah secara mandatori selama 14 hari.
4. Namun pada tarikh 13 Julai 2020, Mohd Khairuddin didapati turut berada di parlimen dalam satu pengundian belah bahagi untuk mengenepikan speaker Dewan Rakyat, iaitu hanya selepas 6 hari pulang dari negara Turki.
5. Adakah hanya kerana ingin mengundi bagi mendapatkan calon Speaker Dewan Rakyat yang baharu maka keselamatan rakyat ekoran kemungkinan penularan kluster baru pandemik Covid-19 diabaikan begitu sahaja?
6. Sebagai seorang Menteri dan juga wakil rakyat, sepatutnya keselamatan awam khususnya dalam soal penyakit berbahaya Covid-19 ini diberi keutamaan dan dipastikan terkawal. Menteri harus tunjukkan teladan yang betul.
7. Perkara yang jelas di sini ialah, kehadiran Mohd Khairuddin ke Parlimen pada tarikh tersebut merupakan satu pelanggaran SOP Covid-19 yang mampu memberi bahaya kepada seluruh negara apabila pada waktu yang sama, ratusan Ahli Parlimen dari seluruh negara telah berkumpul di Parlimen.
8. Malah statistik Covid-19 juga menunjukkan ketika kunjungan Mohd Khairuddin ke Turki, negara tersebut mencatatkan 5,600 kes baru dan 93 kematian dalam masa sehari. Turki juga merekodkan sebanyak lebih 6,000 kematian akibat gejala Covid-19.
9. Pelanggaran SOP yang dilakukan oleh Mohd Khairuddin adalah amat serius dan wajar dihukum tanpa kompromi sebagaimana rakyat marhein yang didenda ribuan ringgit dan ada yang terus diheret ke mahkamah.
10. Saya menggesa perletakkan jawatan sebagai menteri dan Ahli Parlimen dilakukan oleh Mohd Khairuddin. Ia dilihat sebagai satu langkah awal yang mampu meredakan kemarahan rakyat ekoran polemik ‘dua set undang-undang’ yang sedang berlaku.