KUALA LUMPUR: Pertandingan satu lawan satu seperti disarankan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang diibaratkan pembangkang sebagai menembak ‘kaki sendiri’.
Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kenyataan itu secara jelas mencerminkan situasi sebenar kesukaran yang sedang dihadapi Perikatan Nasional (PN) dalam soal pembahagian kerusi.
“Jadi Pakatan Harapan (PH) hanya perlu menumpukan kepada soal isu-isu rakyat dan keadaan semasa.
“Cuma saya rasa komen Presiden Pas itu adalah seperti `tembak kaki sendiri’. Maksudnya, dia nak beritahu kawan-kawan dia sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di bangunan Parlimen semalam.
Semalam, Hadi dalam wawancara dengan Utusan Malaysia berkata, Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai Umno, Pas dan bakal disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tetapi dengan syarat hanya bertanding satu lawan satu.
Menurut beliau, formula satu lawan satu berdepan PH jika dipersetujui membolehkan majoriti mudah 112 kerusi Parlimen dicapai, malah tidak mustahil juga majoriti dua pertiga 148 kerusi.
Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub berkata, Pas sepatutnya terlebih dahulu perlu menyatakan pendirian sama ada mahu kekal bersama MN atau pun menjadi sebahagian komponen PN seandainya ia didaftarkan secara rasmi kelak.
“Cuma saya nak tanya Pas, hati mereka dengan siapa? Dengan PN atau dengan MN. Hari ini cakap, macam dengan PN kerana maklumlah sudah sama-sama duduk dalam Kabinet.
“Tapi dalam masa sama, ada isyarat mereka mahu bersama dengan MN. Jadi, jelaskan ke mana mereka hendak pergi sebenarnya,” ujarnya.