MSO
Ulasan
Mahathir serah watikah kepada
Amir Khusyairi untuk bertanding.
KELMARIN Dr Mahathir Mohamad telah umumkan parti barunya bernama Parti Perjuang Tanah Air. (PEJUANG). Pengumuman itu dibuat sempena pengumuman Amir Khusyairi Mohamad Tanusi seorang peguam syariah sebagai calon babas dalam PRK (pilihan raya kecil) Slim. Proses penamaan calon akan berlangsung esok. Hari mengundi 29 Ogos.
Mahathir telah menghuraikan sebab musabab dan alasan kenapa beliau menubuh parti itu, antara sebabnya kerana partinya sebelum ini Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah dirampas oleh Muhyiddin Yassin. Beliau perlu tubuh parti itu sebagai wadah meneruskan perjuanganya tidak pernah belum selesai-selesai lagi.
Tampaknya Mahathir tidak mempedulikan kepada kerisauan dan pernyataannya sebelum ini Melayu terpecah-pecah kerana banyak parti ditubuhkan.
Ramai yang memberi komen dan menyinis dengan cara Mahathir itu. Bekas Setiausaha Agung Umno Annuar Musa telah memperli dan mengejek parti Mahathir itu sebagai papet atau boneka atau parti dua beranak kerana parti itu akan dikepalai Mahathir dan anaknya Mukhriz.
Apapun Annuar serahkan kepada rakyat untuk menilai parti itu. Orang yang sedang terngian-ngian untuk menjadi Yang diPertua Dewan Negara, Rais Yatim pula mempersoalkan apakah parti baru Mahathir itu dapat menyatu Melayu atau pun tidak. Rais menunjukkan skeptikalnya dengan parti baru Mahathir itu.
Tidak pelik kalau Rais terus kekal dengan caranya "melambung didepan menendang di belakang" kerana itu adalah "pesennya", cara dan budaya politiknya. Kalau tertakdir Mahathir akan menjadi perdana menteri sekali lagi, nada komentar bekas timbalan presiden parti Melayu Semangat 46 itu dan kini merupakan ahli Bersatu lain pula bunyinya. Rais berkokok macam katak yang berlagu mengikut musim dan cuaca.
Apakah parti baru Mahathir itu papet atau boneka atau boleh menyatukan Melayu atau tidak, ia perlu diberikan peluang terlebih dahulu. Diharap Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan meluluskan pendaftaran parti tersebut. Jangan ada main "singgung-singgulan" untuk meluluskan parti tersebut. Adalah tidak adil kalau membuat ulasan awal tentang sesuatu itu sebelum ia diberikan lesen.
Selepas ia diluluskan dan dibentuk organisasinya baru dapat dilihat sejauh mana keupayaan dan potensinya kelak. Sekarang ini kalau diibaratkan cadangan untuk membina sebuah rumah, Mahathir baru diperingkat membersih tapak, tiang dan kerangka rumah belum pun dibangunkan. Selepas ia dibangunkan, dibubuh atap kemudian dicap, dilengkapkan perabut baru adil untuk buat penilaian. Dalam waktu membersih tapak dan merancang tidak dapat kita bayangkan bentuk dan rupa sebenar rumah itu.
Bagaimana pun sudah ada petunjuk awal apakah parti Pejuang itu akan mendapat sambutan atau tidak akan dapat dilihat apabila berlangsung PRK Slim nanti. PRK itu sebagai ujian awal kepada usaha OT95 itu. Mahathir telah menjadikan Amir Khusyairi sebagai taruhannya atau denak kepada parti baru itu.
Dalam pilihan umum lalu calon PH yang diwakili oleh parti Bersatu (Mohd Amran Ibrahim) telah mengutip 6,144 undi berbanding Mohd Khusairi Talib (BN) yang menang mengutip 21,183 undi dan seorang lagi pencabar Muhamamd Zulfadli daripada Pas mengutip 4,103 undi. Di atas kertas amat "rohok" sekali untuk calon Bebas sokongan Pejuang itu menang, tetapi seandainya Amir Khusyairi dapat mengekalkan undi yang diperolehi Bersatu sebelum ini ia dianggap sebagai hebat.
Selain itu pilihan raya itu juga boleh dijadikan indikator awal kepada pembangkang sejauh manakah PH dapat berkerjasama dengan Mahathir Mohamad untuk merampas semula kerajaan pada Piraum akan datang. Pilihan raya Slim 29 Ogos itu penting bagi melihat masa depan pembangkang.
Melihat kepada suasana sambutan pada majlis mengumum dan pemberian watikah kepada Amir Khusyiri yang berlangsung malam kelmarin ia agak meriah juga. Walaupun dalam keadaan PKPB tetapi majlis itu berjaya menarik perhatian umum.
Seramai lebih 19,000 views yang mengikuti siaran langsung majlis berkenaan. Angka itu sudah menyakinkan. Majlis itu juga turut disokong oleh parti pembangkang Amanah dan DAP. Amanah dihadiri sendiri oleh presiden dan timbalan presiden Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub, manakala DAP diwakili Setiausaha Organisasi Anthnoy Loke dan lain-lain. Kehadiran pemimpin PH itu menunjukkan sokongan kepada Mahathir dan dan pembangkang masih utuh dan dalam mood kerjasama yang baik.
Walaupun tidak kelihatan dan terdengar nama pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) di close-up dan disebut, tetapi kita percaya pemimpin PKR tidak akan memberi signal kepada penyokong dan pengundinya di Slim agar jangan mengundi calon Bebas. Apabila selesai proses penamaan calon nanti tentu PKR akan turut membantu calon Bebas itu kerana implikasi daripada keputusan itu nanti ia turut menimpa PKR. Apabila PKR tidak sedia menurunkan calonnya ia memberi gambaran bahawa parti itu juga bersama Mahathir.
Kata-kata awal saya untuk PRK Slim itu, sekiranya calon Bebas yang disokong oleh Mahathir itu berjaya mengekalkan jumlah undi sebelum ini ia menjadi petanda baik yang Pejuang akan mendapat sambutan khasnya daripada ahli dan penyokong Bersatu. Kemampuan itu menyuntik semangat kepada Pejuang dan Mahathir. Mereka yang kecewa dengan Bersatu akibat tindakan Muhyiddin bersama beberapa ahli parlimen yang lapar jawatan menyebabkan mereka akan keluar dan menyertai Pejuang.
Perasaan marah dan kesal mereka atas perbuatan Muhyiddin yang memancung tempoh permerintahan PH akan bertukar arah dan menghukum Muhyiddin dengan beramai-ramai menyertai Pejuang.
Hari ini pun walaupun nama Pejuang baru disebut sudah ada ahli dan pemimpin Bersatu di peringkat bahagian hatta pimpinan tertinggi, kalangan Armada dan sebagainya telah bertindak keluar daripada Bersatu. Boleh dikatakan di seluruh negeri sudah ada reaksi daripada ahli dan penyokong Bersatu. Tindakan mereka itu adalah isyarat baik kepada Pejuang. Kita yakin selepas ia disahkan sebagai sebuah parti politik lebih ramai lagi akan berbuat demikian.
Sekiranya Muhyiddin dapat membaca fenomena ini kemungkinan urusan pendaftaran Pejuang nanti akan bermasalah?
Mereka yang akan menyertai Perjuang nanti adalah mereka yang setia dengan Mahathir dan masih melihat Mahathir sebagai tokoh yang diharap dapat memenuhi aspirasi mereka. Mereka yang kecewa dengan cara Muhyiddin yang melacurkan kedudukan, membahagi-bahagikan jawatan sesama sendiri, menyebabkan mereka yang tidak mendapat jawatan kecewa akan menyokong Pejuang.
Berapa persen yang akan berhijrah dari Bersatu kepada Pejuang tergantung kepada berapa ramai yang mendapat jawatan dengan tidak mendapat apa-apa kedudukan dan habuan.
Saya ingatkan jangan pandang enteng dan rendah kepada kemampuan Mahathir Mohamad. Dia adalah seorang yang tidak pernah berputus asa dan mempedulikan apa yang orang katakan kepadanya. Kekuatan uletnya menghadapi segala cabaran, tidak pernah letih, tidak tahu jemu dan tidak pernah menghitung usianya dan tidak tahu kecewa, menjadikan sesuatu yang dilakukan mendapat perhatian.
Kalau pun Pejuang tidak akan dapat mencapai kejayaan seperti Bersatu menerusi PH sebelum ini, dapat membentuk kerajaan, tetapi kehadiran Pejuang boleh menganggu beberapa pihak. Yang pasti akan terganggu ialah Muhyiddin dan Bersatu. Dan jika Pejuang diketepikan atau dianggap sebagai melukut oleh PH, ia juga sedikit sebanyak memberi kesulitan kepada PH.
Kerana Pejuang adalah parti bernuansa Melayu diwujudkan sebagai meneruskan perjuangan menentang Najib Razak dan kleptokrasi, ia masih relevan dan mampu menarik minat pengundi khasnya mereka yang berada di atas pagar. Ucapan muqadimah Mahathir semasa mengumumkan nama parti itu yang penuh psikologi boleh membuka selera orang ramai kepada Pejuang.
Apa dilakukan Mahathir itu, sama ada untuk menghidup hayat politiknya dan juga anaknya namun kehadirannya yang masih berkubang dalam arena politik tidak boleh diperkecilkan. Ia tetap sesuatu yang menganggu dan bertindak menjadi hantu.
Baik Anwar Ibrahim maupun Muhyiddin Yassin perlu sedar perkara ini jangan terlalu memperkecilkan Mahathir. Sebagai orang tua (OT95), ada sesuatu yang dimilikinya tetapi tidak ada kepada orang berumur di bawah takah umurnya itu. [wm.kl.7:06 am 14/08/2020]
Glossori:
rohok (kn) = sukar, payah, sulit