Walaupun Menteri Luar Negeri, Hishammuddin Hussein sudah mengakui kesalahannya serta memohon maaf atas perbuatannya menghisap vape secara curi-curi ketika sesi Parlimen sedang berjalan, ia tetap suatu kesalahan serius dan amat memalukan.
Laporan terbaru menyebut beliau sudah pun dikenakan denda dan akan membayarnya.
Ada beberapa sebab mengapa perbuatannya itu adalah kesalahan yang serius dan memalukan:-
Pertama, Hishammuddin adalah seorang anggota kabinet kerajaan dan perbuataannya itu secara mutlak telah memalukan kerajaan serta Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di mata rakyat.
Kedua, beliau adalah Ahli Parlimen senior dan sepatutnya tahu peraturan serta larangan ketika berada di Dewan Rakyat.
Meminta maaf tidak bererti kesalahannya boleh dimaafkan.
Ketiga, berdasarkan paparan dalam video yang tular di media sosial, beliau jelas melakukannya secara curi-curi dengan cepat-cepat menghisap dan kemudian menyimpannya seperti seseorang yang cuba melepaskan ketagihan di tandas-tandas awam.
Apakah ini bermakna Hishammuddin menganggap Dewan Rakyat yang mulia setaraf dengan tandas awam yang boleh diguna untuk melepaskan ketagihan?
Keempat, kesalahan menghisap vape di dalam Parlimen ketika sessi perbahasan sedang berjalan tidak sama dengan kesalahan seseorang yang ditangkap menghisap vape di kompleks membeli belah, di tandas awam atau di hospital.
Kedudukan Parlimen adalah tempat menggubal undang-undang dan ia mesti dimuliakan sebagaimana kita menghormati undang-undang yang telah diwartakan.
Oleh itu, menghisap vape di dalam Parlimen adalah suatu perbuatan tidak senonoh yang bertentangan dengan kewarasan untuk dilakukan oleh sesiapa pun jua.
Kelima, dalam konteks yang lebih khusus, seseorang Ahli Parlimen adalah juga pemimpin dan Hishammuddin sepatutnya menunjukkan contoh teladan kepada rakyat dalam perlakuannya.
Tetapi, menghisap vape di dalam Parlimen kerana ketagihan adalah contoh paling buruk yang telah ditunjukkan oleh seseorang yang bergelar pemimpin.
Dengan yang demikian, berdasarkan lima sebab di atas, Hishammuddin sebenarnya tidak layak lagi duduk dalam kerajaan sebagai anggota kabinet berikutan kesalahan yang dilakukannya ini.
Tanpa kompromi, beliau wajib meletakkan jawatan dengan segera sebagai Menteri Luar Negeri. (Shahbudindotcom 06/08/2020)