-
August 30, 2020
Lim Guan Eng berkata, jaminan pandemik Covid-19 terkawal akan
lebih menggembirakan pekerja dan perniagaan kecil, jika langkah kewangan juga
diumumkan untuk mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan.
PETALING
JAYA: Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng menggesa Putrajaya melanjutkan
moratorium pembayaran pinjaman bank selama 6 bulan lagi selepas perintah
kawalan pergerakan pemulihan disambung sehingga akhir tahun ini.
Beliau
terkejut Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak mengumumkan pakej rangsangan
tambahan dengan lanjutan PKPP itu dan tidak meneruskan moratorium itu akan
memberi kesan buruk kepada pekerjaan, perusahaan kecil dan sederhana serta
pengilang.
Katanya,
melanjutkan moratorium untuk 6 bulan lagi selepas ia tamat 30 Sept ini hanya
akan menelan belanja RM6.4 bilion kepada pihak bank dan institusi kewangan
mampu menanganinya.
“Perdana
menteri harus menyedari lanjutan PKPP akan membawa kesan negatif ekonomi yang
harus dibantu dengan bantuan kewangan.
“Jaminan
pandemik Covid-19 terkawal akan lebih menggembirakan pekerja dan perniagaan
kecil, jika langkah kewangan juga diumumkan untuk cepat mengeluarkan ekonomi
kita daripada kemelesetan yang dihadapi sekarang.
“Jelas
tambahan RM45 bilion diperlukan kepada suntikan dana RM45 bilion sedia ada
(jumlah RM90 bilion) untuk menyelamatkan bukan saja pekerjaan rakyat Malaysia,
PKS tetapi juga pengilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim menggesa
Putrajaya tidak menunggu sehingga tahun depan untuk mengumumkan langkah bantuan
kerana menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan perlu menjadi keutamaan.