Beliau keluar Umno kali kedua. Kali
ini emosi orang Melayu dibakar habis-habisan. Game changer dibuat
pada hujung 2016 dengan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
untuk menggantikan Umno. Kempen bermati-matian Mahathir pada 2017 meraih
simpati ahli Umno di luar bandar dan kawasan Felda.
Game changer berlaku sekali
lagi apabila Bersatu menyertai PH pada hujung 2017. Mungkin ramai masih ingat
jasa Nurul Izzah dalam percaturan PH sehingga terbentuknya gabungan berkenaan.
Juga jasa Rafizi Ramli dalam rundingan pembahagian kerusi pada Januari 2018. PH
muncul sebagai pakatan politik paling padu dan berpotensi menang sebaik sahaja
berjaya mengumumkan calon PM dan TPM pada 8 Januari. Langkah seterusnya adalah
sejarah. Gabungan ini berkempen mengelilingi Malaysia mengumpul puluhan ribu
rakyat pada satu-satu lokasi ceramah.
Berbanding kemaraan PR pada 2013 yang
tertumpu di bandar dan sub bandar, kemaraan PH tembus ke kawasan pedesaan.
Sambutan yang diterima dalam ceramah-ceramah di kampung-kampung di Segamat,
Muar dan Batu Pahat misalnya menggambarkan keruntuhan kubu Umno yang tidak
boleh dielakkan. Biar pun undi Melayu pecah tiga di antara Bersatu, Umno dan
Pas tetapi 1/3 undi kaum itu dipastikan pergi kepada PH manakala undi Cina
serta India yang lumayan membantu merampas Putrajaya. Keputusan PRU 14 menunjukkan
emosi mendominasi politik Melayu.
Langkah Sheraton pencetus kedua
Namun politik emosi tidak berakhir
pada 2018. Pasca pengkhianatan Langkah Sheraton sekali lagi menyaksikan
Mahathir menggunakan skil yang sama, meraih simpati ahli Bersatu bahawa beliau
dikhianati Muhyiddin; membiarkan diri dan penyokongnya melakukan kesalahan
untuk dipecat dari parti; membawa kes pemecatan ke mahkamah biar pun boleh
menjangka keputusannya dan terakhir melancarkan Parti Perjuang Tanah Air,
persis kemaraan Bersatu pada 2017 – 2018 lalu.
Sebaik sahaja Mahathir mengumumkan
penubuhan parti baharu pada awal Ogos 2020 secara sistematik berpuluh-puluh
cawangan Bersatu diisytihar bubar, Ketua Cawangan meletak jawatan, ketua Armada
keluar parti, bekas calon-calon Bersatu mengucapkan selamat tinggal, termasuk
seorang ADUN meninggalkan Bersatu di Selangor. Meskipun Setiausaha Agung
Bersatu, Hamzah Zainuddin mengumumkan ‘10 keluar 20,000 masuk Bersatu’, namun
hakikatnya parti itu tertekan akibat menipisnya dukungan akar umbi.
Hamzah yang sebelum ini didakwa
berusaha memujuk pemimpin KEADILAN membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu
pasti akan menghadapi jalan buntu menuntut 50 kerusi Parlimen dari Muafakat
Nasional untuk dipertandingkan. Apabila semakin banyak ahli Bersatu keluar maka
sudah tentu Umno mempunyai alasan tidak memberi kerusi yang banyak kepada parti
itu.
Pada pertengahan Ogos, Presiden Pas
Haji Hadi berkata pembahagian kerusi di peringkat DUN dan Parlimen dalam PN
telah 50% selesai. Tentunya pembahagian seterusnya bakal mengkesampingkan
Bersatu yang boleh diramal akan kalah teruk dalam PRU 15 tanpa jentera kempen
yang berkesan.
Senario PRU 15
Bagaimanakah senario PRU 15?
Dijangkakan keadaan tidak banyak berubah berbanding PRU 14 lalu dengan
parti-parti yang bersaing juga hampir sama. Cuma game changer yang
dilakukan Mahathir mungkin menyebabkan parti Bersatu hanya tinggal lapisan
pemimpin atasan dan kehilangan anggota akar umbi.
Dalam Pas pula, berlaku arus
perubahan apabila sebahagian ahli merasa tertipu selepas Setiausaha Agung Datuk
Takiyuddin Hassan mendedahkan usaha bekerjasama dengan Umno bermula pada 2015.
Paku yang lebih keras tentulah pengakuan Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat,
Dr Zuhdi Marzuki yang mengesahkan gerakan ke arah kerjasama dirancang sejak
2011 lagi, ketika Tok Guru Nik Aziz Nik Mat masih hidup. Dapat dilihat reaksi
kecewa ahli Pas yang merasa tertipu dengan penegasan pemimpin mereka sebelum
ini kononnya tidak terfikir untuk bersama Umno.
Lebih memilukan, disebabkan penafian
itu para walaon sanggup mengkafirkan kawan-kawan yang beralih wadah perjuangan
ke AMANAH dengan alasan enggan bersekongkol menyokong Umno. Hari ini terbukti
bekas-bekas pimpinan Pas itu berada di pihak yang benar. Adakah Melayu yang
pantang ‘ditipu hidup-hidup’ akan memberontak terhadap pemimpin Pas?
Terserah kepada PH dan Mahathir untuk
memainkan politik emosi seterusnya menggempur pertahanan PN yang semakin rapuh.
Sekiranya pembangkang melakukan game changer
bergerak dalam satu gabungan seperti pada 2017 lalu, dengan Bersatu dan Pas
yang bermasalah, tidak mustahil PRU 15 milik PH Plus.
Orang Melayu pada ketika ini teruja
melihat penghijrahan keluar pemimpin dan ahli Bersatu. Dalam masa beberapa
bulan lagi mungkin berlaku gelombang penghijrahan ahli-ahli Pas pula. Sekiranya
hal itu terjadi maka hanya Umno merupakan parti tunggal yang tidak begitu
banyak masalah di dalam PN.