Polis akan memanggil Presiden Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia, Ramesh Rao Krishnan Naidu susulan dakwaan mempengaruhi seorang individu membuat pendedahan dalam bentuk akuan berkanun (SD).
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis akan memanggil Ramesh Rao untuk disoal siasat.
“Siasatan sedang dijalankan,” lapor Malaysiakini hari ini merujuk SD bertarikh 29 Jun itu.
Mior juga memberitahu pihaknya telah mengambil kenyataan pengadu yang didakwa melakukan hubungan seks dengan seorang ahli politik sebanyak empat kali pada 2013.
Terdahulu, individu itu mendakwa dia telah diperalat dan dipergunakan oleh seorang pemimpin NGO untuk membuat tuduhan tersebut.
Susulan itu, dia telah membuat laporan polis terhadap Ramesh Rao dan bloger Raja Petra Kamaruddin.
Dia mendakwa dipengaruhi untuk membuat SD berkenaan liwat yang dilaporkan sebelum ini.
Lelaki itu juga mendakwa Ramesh Rao berjanji akan memberikannya habuan atau pampasan atas tindakan tersebut.
Laporan polis dibuat setelah blog Malaysia Today menerbitkan artikel mengenai tuduhan liwat berkenaan.
“Saya telah diperalat dan dipergunakan oleh Datuk Seri Ramesh Rao Krishnan Naidu dengan melakukan penyebaran berita berunsur lucah di media sosaial keatas saya hingga menyebabkan segala maruah saya dan seluruh ahli keluarga saya tercemar dan telah menyebabkan saya diganggu oleh beberapa pihak media sehingga menyebabkan saya terganggu emosi dan tertekan.
“Tujuan laporan ini dibuat adalah untuk mengambil tindakan kepada Dato Sri Ramesh Rao dan Raja Petra yang menyebarkan berita berunsur lucah ke media sosial,” dipetik Malaysiakini.