Akhirnya debat antara bekas Menteri Agama Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim akan berjalan secara langsung Jumaat ini yang dianjurkan oleh akhbar Sinar Harian.
Bagaimanapun, program ini tidak dinamakan debat tetapi Berani Semuka yang akan disiarkan secara langsung jam 8.30 malam melalui laman sinar harian dan juga pelbagai akaun facebook.
Tan Sri Johan Jaaffar akan menjadi moderator untuk debat ini bersama dengan dua moderator bersama yang mewakili Mujahid dan Azeez.
Format yang akan digunakan adalah sama dengan debat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, 12 tahun lalu.
Perdebatan antara MP Baling dan MP Parit Buntar mengenai Tabung Haji tidak pernah habis di Dewan Rakyat sahaja.
Ekoran itu, mereka bersetuju untuk bersemuka secara langsung melalui mana-mana media yang akhirnya Sinar Harian bersetuju menjadi tuan rumah.