Azmin tau banyak perkara, kenapa dedah?
Zukri Aksah
MENARIK UNTUK SAYA MEMBACA DAN MENELITI, kenyataan oleh Dr. Xavier Jayakumar semalam bahawa,
“Sepanjang saya jaga kementerian selama 22 bulan, saya tak pernah tulis kepada Kementerian Kewangan minta projek dibuat secara rundingan terus. Ada satu sahaja projek dibuat runding terus, itu pun projek itu diberikan kepada Khazanah Nasional sebab Khazanah nak buat kerjasama dengan Boeing, dan ia dibawa kepada mesyuarat dan Kabinet meluluskan.”
Kenapa menarik? Sebab kala itu hanya ada dua orang wakil kabinet dalam Lembaga Pengarah Khazanah, iaitu Dr. Mahathir bin Mohamad dan Azmin Ali. Jadi betullah kata Xavier bahawa parlimen sudah jadi sarkas. Sebahagian menteri dalam Kerajaan PN sekarang adalah juga menteri di masa PH, termasuk Azmin Ali, dia bukan sahaja tahu, bahkan terlibat sama dalam penganugerahan dan penerimaan projek runding terus. Mengapa diungkit sekarang?
Diungkit seolah-olah Kerajaan PH telah berbuat sesuatu yang salah, salah besar! Setakat hari ini, kaedah, tata cara dan tata kelola yang diguna pakai dalam pengurusan perolehan kerajaan masih membenarkan kaedah runding terus, fullstop!!! Maksudnya ia tidak salah pun… menjadi salah kalau berlaku salah guna kuasa, rasuah atau penyelewengan dalam perlaksanaannya. Yang beria-ria berkeras mahu menyalahkan PH ini peliknya datang dari bekas pemimpin dan ahli PH juga, khususnya pengkhianat Keadilan, pengikut Azmin Ali. Lalu dilagukanlah kononnya itu janji Lim Guan Eng, manifesto Pakatan Harapan. Saya cuma mahu beritahu, waktu Mahathir berkeras mahu memangku jawatan Menteri Pendidikan yang jelas melanggar manifesto, kamu semua juga yang galak mengikut dan mencium bontot orang tua itu. Bila orang tua itu sudah jatuh kamu tinggalkan dia, ini bukan sekadar hipokrit, bukan sekadar khianat, tetapi jahat dan tiada hati perut.
Jadi kenapa isu runding terus ini digegarkan di Parlimen? Pada waktu ini? Jujur dan telus mahu mengatakan PN lebih baik dari PH? Tak mungkin, sebab sebahagian menteri PN itu adalah juga menteri PH dahulunya, ibarat menepuk air di dulang, ibarat meludah ke langit! Saya lihat ia sekadar mencipta isu, supaya khalayak disibukkan dengannya, menjadi fokus perbincangan, lupa kepada yang lain. Kenapa cipta isu? Untuk menghalang kejatuhan Kerajaan PN, majoriti Kerajaan PN boleh hilang hanya dengan seorang manusia bernama Dr. Khairuddin at-Takiri, maka dia mesti dilindungi dan diselamatkan. Caranya? Buat isu baru yang boleh menenggelamkan kes jelas lagi nyata melanggar kuarantin wajib yang sepatutnya dibawa ke mahkamah dan didenda paling tidak pun di antara RM8,000 – RM12,000 (berdasarkan kes rujukan pencetus kluster Sivagangga dan Makcik Gelang Pink), yang secara automatik akan menghilangkan satu kerusi sokongan PN, menghapus majoriti Muhyiddin dalam parlimen.
Maka saya dengan ini mencabar Tengku Zafrul untuk mengulang kenyataan beliau di luar parlimen, kalau berani tuduhlah bahawa Kerajaan PH selama 22 bulan itu telah melakukan kesalahan dengan penganugerahan projek runding terus yang dinyatakan itu. Saya juga mendesak supaya Ust Dr. Khairuddin at-Takiri segera didakwa di mahkamah sebagaimana segeranya pencetus kluster Sivagangga dan Makcik Gelang Pink didakwa dan dihukum. Premisnya sama, tindakan yang mengkompromi keselamatan dan kesihatan awam.