Jamzuri Ardani
Bagi saya soalan seperti ini jawapannya tidaklah 'straight forward'. Ada banyak perspektif yang boleh kita lihat. Secara umumnya kita faham berniaga tanpa lesen adalah salah dari sudut undang-undang.
Tetapi apakah menyalahi undang-undang itu semestinya satu dosa. Anda memandu di sebuah jalan yang lengang pukul 3 pagi. Lampu trafik merah. Anda berhenti, tengok kiri, kanan, depan, belakang, atas ... anda pasti tiada kenderaan lain lalu anda berlalu pergi tanpa menunggu lampu bertukar hijau.
Dari segi undang-undang memang salah. Tapi, saya tidak fikir ianya suatu dosa disisi Allah. Undang-undang dibuat kerana ada maqasidnya. Selagi maqasidnya itu dihormati, ianya adalah termasuk perkara ijtihad dan kebijaksanaan masing-masing. Itu pandangan dan pemahaman saya. Anda boleh sahaja berbeza kalau mahu.
Peraturan melesenkan perniagaan juga ada maqasidnya. Kiranya anda berniaga di kawasan yang orang lain juga berniaga secara berlesen, tetapi anda berniaga tanpa lesen ... maka bagi saya anda telah berlaku zalim kepada peniaga lain yang berlesen. Itu jelas haram. Lainlah kalau anda telah berusaha seupaya untuk mendapatkan lesen tetapi tidak berjaya, mungkin ada rukhsahnya di situ.
Bayangkan orang lain jual makanan kena bayar sewa kedai, kena bayar lesen, kena bayar macam-macam lagi, tiba-tiba anda juga jual makanan di tempat yang berhampiran tanpa mengeluarkan kos seperti mereka. Anda buka khemah di tempat parking kereta dan berniaga di situ. Bagi saya itu sudah dikira mengambil hak orang lain secara yang salah. Hukumnya tentulah jelas dari sudut agama.
Bukan tinggal solat sahaja berdosa, mengambil hak orang lain secara salah juga berdosa. Kalau kita berdosa tinggal solat, kita boleh bertaubat dan memohon ampun kepada Allah. Tetapi, sekiranya kita berdosa mengambil hak orang lain, bertaubat dan memohon ampun kepada Allah sahaja tidak cukup.
Adapun sekiranya anda berniaga tanpa lesen, tetapi tiada unsur-unsur kezaliman, penganiayaan, atau mengambil hak orang lain ... saya percaya dari sudat agama ada rukhsahnya. Walaupun ia mungkin salah dari sudut undang-undang.
Wallahu a'lam.