ADAKAH BERSATU HANYA DILIHAT IKLAS MENYERTAI MN JIKA MUHYIDDIN SEGERA MELANTIK ZAHID HAMIDI SEBAGAI TPM


Pengumuman Muhyiddin Yassin bahawa Bersatu bersetuju menyertai Muafakat Nasional ternyata mengundang lebih banyak persoalan tentang keikhlasan berbanding keselesaan, khususnya buat UMNO.
Meskipun ternampak mengalu-alukan hasrat itu, tetapi beberapa pemimpin UMNO secara terbuka membangkitkan soal keikhlasan Bersatu untuk bersama di dalam MN.
Presiden UMNO, Zahid Hamidi berharap Bersatu dapat menunjukkan keikhlasan untuk bersama MN dengan tidak ada agenda lain di sebalik tabir berbuat demikian.
“Kalau mahu berkongsi, berkongsikah dengan perkongsian sebenar. Kita tidak mahu ada agenda di sebalik tabir dan UMNO diguna sebagai batu loncatan.
“Jangan main-main dengan BN dan MN. Bila telah nampak cahaya di hujung terowong makin terang, saya tidak mahu mana-mana pihak, masih hidup atau masih mati, terhegeh-hegeh mahu bersama BN,” katanya.
Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin juga membangkitkan soal keiklasan Bersatu.
Kata bekas Menteri Besar Johor itu, Bersatu boleh menyertai MN, tetapi kemasukannya ke dalam gabungan itu janganlah pula digunakan untuk mendesak UMNO menyertai PN.
“Menjadi sebahagian MN sangat berbeza dengan menjadi sebahagian daripada PN,” ujar beliau.
Pemimpin veteran UMNO, Shahrir Samad turut membangkitkan beberapa persoalan antara yang tersurat dan tersirat di sebalik pengumuman Muhyiddin yang mengesahkan Bersatu akan menyertai MN tidak lama lagi.
Ia dengan jelas bahawa Shahrir juga ada keraguan terhadap keikhlasan hasrat Muhyiddin itu.
Namun, beliau mengingatkan Muhyiddin – “Demikian, PN sebagai suatu “Grand Coalition” bukanlah menepati kehendak akar umbi UMNO dan BN. PN adalah setakat hayat Parlimen ke-14. Pada PRU15 sudah tidak ada PN tapi adanya permuafakatan politik berasas kepada Piagam Muafakat Nasional.”
Dalam pengumumannya semalam, Muhyiddin berkata, menyertai MN adalah pilihan terbaik buat Bersatu.
Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah bersetuju untuk menyertai MN yang mendokong PN sebagai gabungan besar atau the grand coalition.
“InsyaAllah, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” kata Muhyiddin.
Begitu pun, sementara kemasukan Bersatu dialu-alukan, majoriti dalam UMNO juga membangkitkan keikhlasan Bersatu bersama dengan MN.
Bukan saja Zahid Hamidi, Khaled dan Shahrir yang ada perasaan demikian, malah dipercayai sebahagian besar pemimpin dan ahli UMNO juga berperasaan yang sama.
Ini kerana sebagaimana yang diketahui umum, Bersatu ketika ini berada dalam kedudukan yang sangat lemah dan berpecah, berbeza dengan UMNO yang telah pulih serta bangkit semula selepas kekalahan dalam PRU14 lalu.
Sekarang ini, masih adanya sokongan ahli kepada Bersatu dan Muhyiddin hanyalah semata-mata kerana parti itu berada dalam kerajaan dan Muhyiddin masih lagi Perdana Menteri.
Jika tiada semua itu, mungkin boleh dikira dengan jari mereka yang sanggup terus berjuang dalam Bersatu?
Lantaran itu, tindakan UMNO menuntut keikhlasan daripada Bersatu, sedikit sebanyak memang ada asasnya.
Cuma, bagaimana untuk mengukur dan menilai keikhlasan Bersatu itu?
Adakah Bersatu akan dilihat 100 peratus ikhlas untuk bersama MN jika Muhyiddin segera melantik Presiden UMNO, Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudian menggugurkan semua kes mahkamahnya?
Tetapi sebelum itu, ketika Zahid Hamidi mengumumkan UMNO tidak akan menyertai PN di mana keputusan itu diambil hanya dua hari selepas Najib Razak dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah dan kemudian memaklumkan Bersatu dipelawa menyertai MN, adakah ia sesuatu yang benar-benar ikhlas?

 (Shahbudindotcom 16/08/2020)