Undian yang dibuat oleh anak moderator debat ‘Berani Bersemuka’ anjuran Sinar Harian kelmarin, Syahredzan Johan mendapati 91.4 peratus pengundi memberikan sokongan kepada Datuk Seri Mujahid Yusof.
Hanya 8.6 peratus dari 5,977 peserta poll yang dibuat anak Tan Sri Johan Jaaffar itu memberikan sokongan kepada bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Rahim.
Syahredzan telah bertanya kepada rakan-rakan beliau melalui twitter “Siapa menang debat semalam dengan hujjah dan fakta” ekoran debat antara bekas Menteri Agama kerajaan Pakatan Harapan dengan bekas Pengerusi Tabung Haji kerajaan Barisan Nasional itu.
Poll yang dibuat Syahredzan, seorang peguam itu tamat pada jam 12.02 PM 15 Ogos malam tadi.
Para netizen juga memuji cara ayah Syahrezan mengendalikan debat itu sehingga ada yang mencadangkan beliau menjadi ‘Speaker Dewan Rakyat’ agar keadilan diberikan kepada semua ahli Dewan.
Pemegang akaun twitter bernama Ramzdhan berkata, “saya memberikan tepukan kepada ayah awak kerana mengendalikan debat dengan baik. Sangat-sangat baik. Semua orang berkelakuan baik. Dia patut dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat. Selepas ini letak Pasir Salak di pentas debat pula.”
Ahli Parlimen Pasir Salak adalah Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, ahli Parlimen Umno yang sangat aktif dalam sidang Dewan Rakyat.
Ramai juga yang memberikan komen mempertikaikan siapakah yang memberikan undi sehingga 9 peratus kepada Azeez itu.
Ami_southpaw menulis, “Bodoh mana yang undi Azeez tu woi” manakala RJ pula berkata,”Mereka yang ada otak tapi tak berakal”.
Ramai yang memuji Mujahid kerana memberikan hujjah yang penuh dengan fakta dalam debat selama satu jam setengah itu dan disiarkan secara langsung melalui media sosial itu.
You will never walk alone menulis, “Hujjah YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof penuh dengan fakta. Memang terbaik dan tiada siapa dapat mempertikaikan hujah beliau.”
Isu yang dibawa oleh penyokong Azeez pula adalah kenapa kerajaan tidak mengadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menentukan pengurusan siapa yang lebih baik dalam mengendalikan Tabung Haji.
Amri el Wahab menulis, “Orang yang tak benar tetapi pintar bercakap sudah tentu nampak macam dia yang benar. Maka debat bukan kayu ukur siapa benar siapa salah. Siapa menang siapa siapa kalah. Dalam konteks isu TH, kayu ukur sebenarnya ialah RCI.”