Warisan sedia pinda perlembagaan parti untuk disertai Tun Mahathir
Sekiranya Tun Mahathir dan 5 ahli parlimen bekas Bersatu perlukan sebuah parti untuk menghadapi pilihan raya mengejut pada tahun ini, Warisan sedia meminda perlembagaan parti bagi membenarkan kumpulan 6 tersebut menyertai parti yang berasal dari Sabah berkenaan
Hal itu dojelaskan oleh pengerusi tetap Warisan, Liew Vui Keong.
Menurut anggota parlimen Batu Sapi itu, pindaan tersebut perlu dilakukan kerana ketika ini keanggotaan Warisan tidak terbuka untuk orang bukan Sabah.
Katanya, peruntukan dalam perlembagaan tersebut boleh diubah jika ada keperluan.
“Saya rasa kemungkinan ada. Buat masa ini, Parti Warisan Sabah hanya tertumpu pada negeri Sabah tetapi perlembagaan boleh dipinda untuk menjadikannya Parti Warisan Malaysia.
“Tetapi ini memerlukan perubahan kepada perlembagaan parti Warisan. Jadi, ini sedang dalam proses,” katanya seperti dipetik Astro Awani.
Mahathir merupakan pengerusi Bersatu – jawatan tertinggi parti itu mengikut perlembagaan – sebelum berlaku krisis dalaman yang menyaksikan keanggotaan beliau didakwa gugur.
Turut berdepan masalah sama ialah lima lagi anggota parlimen, termasuk Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.
Semasa sidang Dewan Rakyat Mahathir dan penyokongnya ditempatkan di kawasan ahli parlimen bebas. Mereka adalah kumpulan yang menyokong idea menamakan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, sebagai calon perdana menteri dari pembangkang.
Langkah itu dianggap perlu dalam usaha pembangkang mendapat sokongan mencukupi daripada ahli parlimen bagi mengembalikan semula kerajaan kepada Pakatan Harapan (PH).
Sehingga kini, Mahathir dan ahli parlimen yang setia kepadanya belum membuat keputusan sama ada akan menyertai parti lain atau menubuhkan parti baru.
Liew berkata Warisan boleh memberi pertimbangan jika ada anggota parlimen yang tidak memiliki platform dan berminat menyertai parti berkenaan.