Punca sebenar kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tidak diketahui, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.
“Setakat ini keluarga tidak berjumpa dengan saya, cuma yang penting dia (keluarga) dan rakyat inginkan keadilan pada Adib.
“Kita tidak tahu sebenarnya punca kematian, sebab itulah kita perlukan keadilan rakyat, bukan sahaja kes adib malah kes yang lain,” katanya pada media selepas membuat lawatan kerja di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya di Ipoh hari ini.
Sehubungan itu, pemimpin Umno tersebut menyerahkan kepada keluarga Adib untuk mengambil tindakan sivil bagi menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis sehingga menyebabkan kematian anggota terbabit.
Menurut Ahli Parlimen Maran tersebut, keluarga Adib berhak mendapat keadilan di atas kematian anggota bomba yang cedera parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25 pada 27 November 2018 sebelum meninggal dunia pada 17 Disember tahun sama.
Bagaimanapun, katanya, KPKT akan melihat semula tindakan yang dibuat ahli keluarga Adib itu.
“Saya tidak mahu mengulas panjang dan kita serahkan perkara itu kepada pihak atasan dan mahkamah.
“Berkenaan perkara ini (kemukakan saman) saya kena lihat dahulu, itu adalah hak dia (keluarga) tetapi kita menyerahkannya kepada undang-undang,” ujarnya.
Tambahnya, keluarga Allahyarham Adib setakat ini tidak berjumpa dengan pihak kementerian berhubung perkara tersebut.
Keluarga Allahyarham Adib sebelum ini dilapor akan mengambil tindakan sivil untuk menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis sehingga menyebabkan kematian anggota bomba itu.
Minggu lalu, barisan peguam yang mengendalikan kes Adib tampil “membetulkan fakta-fakta terpesong” oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador.