TIDAK MUSTAHILKAH ANWAR, MUHYIDDIN DAN NAJIB BERSATU SEMULA?


Dua tahun sebelum memecat Anwar Ibrahim pada 1998, Tun Mahathir Mohamad telah mengambil langkah berdamai dengan Tengku Razaleigh Hamzah atas nama perpaduan Melayu.
Perdamaian pada tahun 1996 yang diaturkan oleh taikun Ananda Krishnan itu kemudian disusuli dengan pembubaran Semangat 46 dan penyertaan beramai-ramai ahlinya ke dalam UMNO.
Peristiwa itu adalah detik bersejarah kerana sebelum itu pada 1987, Tengku Razaleigh atau Ku Li hanya kalah 43 undi kepada Tun Mahathir bagi pertandingan jawatan Presiden UMNO setelah melalui persaingan yang sengit dan kempen memburuk-burukkan antara satu sama lain yang paling parah dalam sejarah.
Pertandingan itu berlarutan sehingga ke mahkamah dan seterusnya UMNO diharamkan pada 1988, disusuli dengan penubuhan UMNO Baru oleh Tun Mahathir.
UMNO Baru yang ditubuhkan Tun Mahathir melarang sama sekali Ku Li dan pengikutnya daripada menyertai parti itu.
Ku Li dengan itu menubuhkan Semangat 46 untuk meneruskan perjuangan menentang Tun Mahathir dengan asas utamanya adalah untuk menghidupkan semula UMNO yang telah diharamkan dan memulihkan negara daripada pelbagai kerosakan ekonomi serta amalan rasuah yang didakwa berleluasa.
Dalam era bermusuh dengan Ku Li, dua PRU selepas itu iaitu pada 1990 dan 1995, ia telah dimenangi dengan bergaya oleh Tun Mahathir, walaupun Ku Li hampir membuat kejutan pada 1990 sebelum beliau ditumpaskan oleh isu tengkolok salib yang dipakainya.
Hanya pada 1998 apabila Anwar dipecat, barulah disedari tindakan Tun Mahathir berdamai pada 1996 itu bukanlah untuk penyatuan Melayu, tetapi untuk mengelakkan dua musuhnya – Ku Li dan Anwar berpadu tenaga untuk menentangnya.
Jika Ku Li tidak diajak berdamai, tentulah mustahil Tun Mahathir berani memecat Anwar kerana penggabungan mereka, ditambah dengan penyertaan Pas yang dipimpin oleh Fadzil Noor ketika itu, ia bila-bila masa boleh mewujudkan gelombang kebangkitan yang mampu mengakhiri hayat politiknya selaku Perdana Menteri.
Tetapi, oleh kerana Semangat 46 sudah dibubarkan dan Ku Li sudah kembali ke pangkuan UMNO, memecat dan mendepani kesan pemecatan Anwar itu tidak sukar dihadapi oleh Tun Mahathir.
Yang nyata, mengajak Ku Li kembali menyertai UMNO atas nama perpaduan Melayu dan kemudian memecat Anwar memperlihatkan Tun Mahathir tidak mampu menghadapi dua musuh secara serentak dalam waktu sama.
Selepas memecat Anwar pada 1998 dan kemudian memenjarakannya, PRU seterusnya pada 1999 juga dimenangi oleh Tun Mahathir sebelum beliau mengumumkan persaraannya pada 2003.
Selepas berjaya menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan seterusnya bermusuh pula dengan Najib Razak, apabila beliau mengumumkan untuk kembali ke dunia politik pada 2015 dengan tujuan untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri itu, Tun Mahathir sekali lagi menggunakan taktik yang sama iaitu berbaik semula dengan musuh lamanya, Anwar kerana tidak mahu ada dua musuh yang perlu dihadapinya secara serentak.
Tindakan Tun Mahathir mengunjungi Anwar di mahkamah pada 2016 menandakan bermulanya detik mereka berbaik semula yang berlaku di tengah-tengah spekulasi bahawa Najib, Perdana Menteri ketika itu mungkin membebaskan Anwar lebih awal daripada penjara.
Dengan berbaiknya Tun Mahathir dan Anwar itu, PH akhirnya berjaya menumbangkan UMNO, Najib dan BN, sekaligus menjadikan Tun Mahathir berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.
Sekarang, dengan kacau-bilau politik yang berterusan disebabkan perlakuan Tun Mahathir – bermula dengan melengah-lengahkan janji peralihan kuasa, merancang kekacauan dalam PH sehingga ia tumbang, tertubuhnya kerajaan PN dan kerakusan ingin menjadi Perdana Menteri sekali lagi – tiga musuhnya telah wujud secara serentak.
Mereka ialah Najib, Anwar dan Muhyiddin, malah Ku Li juga boleh dikira sebagai musuh Tun Mahathir juga sekarang ini.
Najib secara terang-terang sedang melawan Tun Mahathir dengan pelbagai serangan melalui media sosial sehingga banyak pendedahannya tidak mampu dibalas, Anwar enggan lagi bekerjasama dengannya melalui PH, manakala Muhyiddin melakukan tindakan secara diam dalam menghakis pengaruh Tun Mahathir daripada Bersatu.
Mengimbau sejarah, gabungan Anwar, Muhyiddin dan Najib inilah yang membentuk Team Wawasan pada pemilihan UMNO 1993 dahulu yang bermulanya ancaman terhadap Tun Mahathir sehingga beliau bertindak memecat Anwar pada 1998.
Kalau pun tidak sekarang atau dalam waktu terdekat ini, melihat kecelaruan politik yang berlaku hari ini, adalah tidak mustahil ketiga-tiga mereka ini perlu bersatu semula di masa akan datang nanti.
Bahkan, khususnya untuk menenggelamkan kacau ganggu politik yang dicetuskan oleh Tun Mahathir, penyatuan semua Team Wawasan ini adalah keperluan yang tidak dapat dielakkan lagi.
Oleh kerana Tun Mahathir sudah menunjukkan teladan berbaik dan bermusuh adalah halal untuk kepentingan politik, maka untuk tujuan yang lebih murni iaitu menghilangkan kacau ganggu yang ditimbulkannya dalam politik negara, ketiga-tiga mereka ini juga harus meneroka sama kemungkinan ke arah itu. (Shahbudindotcom 02/07/2020