Pemimpin DAP hari ini mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab merosakkan mural seni di Shah Alam yang antaranya memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam reaksinya menggesa pihak berkusa menyiasat tindakan vandalisme berkenaan sambil menyifatkannya ia tidak wajar berlaku apatah lagi melibatkan potret Yang di-Pertuan Agong.
“Saya gesa pihak berkuasa menyiasat aksi provokasi ini dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Satu video di media sosial tular menunjukkan mural terbabit dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, tindakan pengecut oleh pihak tertentu yang cuba mencetuskan provikasi sebegitu perlu dikecam.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong pula berkata, perkara ini tidak patut berlaku sama sekali.
“Budaya biadab dan kesat semakin menjadi-jadi. Harap para pemimpin jadi teladan. Rukun negara kita perlu diamal: Kesopanan dan Kesusilaan.
“Kita kecam sekeras-kerasnya tindakan vandalisme ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Manakala Adun Ketari, Young Syefura turut menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini kerana mungkin ada unsur provokasi dari pihak yang tidak bertanggungjawab.