SELAMATKAH MUHYIDDIN JIKA KEMBALI SERTAI UMNO


Daripada sudut yang lain, kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang mahu Muhyiddin Yassin kembali kepada parti itu dengan UMNO sedia mengubah keputusan pemecatannya pada 2016 dahulu, ia juga adalah suatu berita buruk buat Bersatu.
Ia secara tidak langsung bermakna, UMNO tidak mahu bekerjasama dan berkongsi kerusi dengan Bersatu dalam pilihanraya akan datang nanti.
UMNO nampaknya hanya ingin mencari jalan mudah iaitu mahu Muhyiddin kembali semula ke pangkuan parti itu agar tidak berbangkit soal pembahagian kerusi dengan Bersatu.
Dengan Muhyiddin kembali ke pangkuan UMNO, oleh kerana beliau sekarang adalah Perdana Menteri, UMNO juga bersedia mengekalkannya lagi untuk jawatan tersebut.
Tetapi, jika Muhyiddin enggan menyertai UMNO semula, ini juga bererti kedudukan Perdana Menterinya tidak akan dipertahankan sama sekali.
Secara mudahnya, selepas PRU nanti, UMNO tetap mahukan wakil parti itu yang duduk di kerusi Perdana Menteri, bukan lagi daripada Bersatu.
Kalau Muhyiddin masuk UMNO semula, boleh dikata terjaminlah kedudukannya kekal sebagai Perdana Menteri, namun jika beliau enggan, maka “bye-byelah” jawabnya.
Bagaimanapun, yang menjadi persoalan, jika Muhyiddin masuk semula UMNO, apakah beliau akan diberi laluan untuk jadi Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu tahun depan?
Sediakah Zahid Hamidi yang kini merupakan Presiden UMNO melihat Muhyiddin mengambil alih tempatnya?
Kalau Zahid Hamidi sedia memberi laluan, apakah pula ganjaran untuknya?
Bagaimana pula dengan pemimpin Bersatu yang lain, apakah mereka juga dengan mudah diterima menyertai UMNO atau “karpet merah” hanya dibentangkan untuk Muhyiddin seorang saja?
Yang pasti, jika PRU mengejut diadakan pada tahun ini atau sebelum pemilihan UMNO tahun depan, bermakna Zahid Hamidi masih merupakan Presiden UMNO dan akan berkuasa penuh dalam menentukan calon-calon untuk bertanding.
Dalam hal ini, pastilah bukan mudah untuk pemimpin Bersatu selain Muhyiddin diberikan tempat untuk bertanding memandangkan UMNO sendiri ada pemimpinnya sendiri di setiap kawasan Parlimen dan DUN seluruh negara.
Pasti Geng Hamzah Zainuddin atau Geng Azmin Ali khususnya, tidak semudah Muhyiddin untuk diberikan kerusi bertanding, walaupun mereka ketika ini memegang jawatan menteri dalam kerajaan.
Maka, akhirnya apa jadi kepada Muhyiddin?
Apakah beliau akan bersendirian bertanding dalam UMNO, manakala calon-calon lain adalah pilihan Zahid Hamidi belaka?
Jika begitu, kalau ditakdirkan Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional memenangi PRU mengejut dalam waktu terdekat ini, berapa lamakah Muhyiddin akan dipertahankan sebagai Perdana Menteri?
Tidak mungkinkah selepas itu UMNO akan menolak Muhyiddin untuk meletakkan pemimpin mereka menggantikannya?
Yang nyata, keadaan akan tampak lebih selamat buat Muhyiddin jika kembalinya beliau ke dalam UMNO turut disertai dengan laluan menjadi Presiden parti itu menggantikan Zahid Hamidi serta semua pemimpin Bersatu yang ada bersamanya sekarang dikekalkan bertanding sekali lagi.
Cuma, mungkinkah perkara itu boleh berlaku? (Shahbudindotcom 25/07/2020)