Rakyat mengundi parti, bukan batang tubuh Azmin, Zuraida
Kenyataan Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad dibidas Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Adzman Kamaruddin sebagai mempamerkan kebodohan sendiri.
Menurut Adzman, setiausaha politik Zuraida Kamarudin itu seolah-olah buta politik dan tidak sedar sejak 2008, rakyat di Parlimen Ampang dan Gombak mengundi KEADILAN untuk perubahan, bukannya peribadi calon.
“Semua sedia maklum bahawa kerusi Parlimen Ampang dan Gombak yang diwakili Zuraida dan Mohamed Azmin Ali dimenangi atas tiket KEADILAN. Malangnya, kedua-dua mereka bertindak mengkhianati mandat yang telah diberikan oleh pengundi di Ampang dan Gombak kepada KEADILAN.
“Justeru, Nor Hizwan perlu muhasabah diri dan tidak usah mendabik dada seolah-olah pengundi di Ampang dan Gombak memilih Zuraida dan Mohamed Azmin atas faktor individu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Adzman lagi, Ampang dan Gombak merupakan merupakan kawasan bandar dan pengundinya celik maklumat. Mereka tidak akan bersetuju melantik calon yang mengkhianati perjuangan rakyat untuk dilantik bagi meneruskan kerajaan yang pernah mempersetankan mandat rakyat.
“Saya nasihatkan Nor Hizwan supaya jangan memperlekehkan rakyat khususnya warga Ampang dan Gombak. Rakyat bukan bodoh dan tidak akan lupa pengkhianatan yang dilakukan oleh Zuraida dan Azmin.
“Angkatan Muda KEADILAN Selangor yakin warga Ampang dan Gombak akan terus memberikan kepercayaan kepada KEADILAN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang,” katanya lagi.
Pada 27 Julai lalu, Hizwan membuat kenyataan media meminta KEADILAN melupakan impian mahu mengambil semula Parlimen Ampang dan Gombak dalam PRU ke 15.
Beliau membayangkan pengundi Ampang serta Gombak akan lebih setia kepada Zuraida dan Azmin berbanding parti KEADILAN yang menentukan ideologi dan polisi kerajaan berkebajikan di Selangor.