Pemulangan wang 1MDB oleh Goldman Sachs kejayaan PH
Pakatan Harapan (PH) menyambut baik pemulangan wang berjumlah RM16.6 bilion (AS$3.9 bilion) dalam penyelesaian antara Kerajaan Malaysia dan syarikat Goldman Sachs.
Menurut Majlis Presiden PH, pemulangan wang dari salah laku kes 1Malaysia Development Berhad itu hanya berlaku selepas kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
“Majlis Presiden mengingatkan bahawa Kerajaan PH tidak bersetuju dengan tawaran Goldman Sachs sebelum ini untuk hanya memulangkan AS$1.75 bilion, kerana jumlah penuh yang dituntut adalah AS$7.5 bilion.
“Proses pemulangan wang dari Goldman Sachs ini sebenarnya bermula selepas kemenangan PH dan kekalahan Barisan Nasional pada PRU14.
“Majlis Presiden mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam usaha ini, termasuk Peguam Negara (Tommy Thomas) pada ketika itu yang telah memulakan proses perundangan demi mendapatkan keadilan buat rakyat Malaysia,” ujar kenyataan bersama Majlis Presiden PH.
“Majlis Presiden mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam usaha ini, termasuk Peguam Negara (Tommy Thomas) pada ketika itu yang telah memulakan proses perundangan demi mendapatkan keadilan buat rakyat Malaysia,” ujar kenyataan bersama Majlis Presiden PH.
Selain itu, menurut kenyataan itu lagi, pemulangan wang tersebut menjadi bukti sahih berlakunya penyelewengan 1MDB dan bukannya tuduhan melulu atau fitnah sebagaimana dakwaan Umno dan Pas selama ini.
“Pemulangan wang ini juga menjadi bukti wujudnya pelbagai salah laku dan kebobrokan pada zaman itu.
“PH menegaskan semua watak utama di dalam kes ‘scam’ 1MDB mesti diadili di mahkamah, termasuk individu yang dinamakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sebagai “MO1” dan Low Taek Jho (Jho Low) yang sehingga kini belum ditahan. Mereka tidak boleh dibenarkan bebas begitu sahaja,” kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Dengan kembalinya sejumlah RM16.6 bilion itu, jumlah keseluruhan wang rakyat yang dikembalikan dari luar negara sebanyak berjumlah RM19 bilion.
Mengikut keterangan dalam perbicaraan 1MDB syarikat Goldman Sachs bertindak sebagai penasihat kewangan kepada dana kemakmuran negara itu.