NAJIB BERSALAH.MELAYU BERSATULAH


Pepatah ada mengatakan ‘biar lambat asal jangan tak sampai langsung’ begitulah kes 1MDB telah mula didedahkan oleh Pakatan Rakyat dan PH kemudiannya sejak 2011 di parlimen.
Transaksi meragukan dan penipuan terbesar merompak harta negara dirancang begitu rupa sehingga nama pemimpin no 1 Malaysia mula dikenali sebagai pemimpin kleptokrat.
Reaksi kepada penghakiman bersalah Najib Tun Razak agak menarik. Ramai orang Melayu dari parti Umno dan Pas dilihat hadir walaupun pertuduhan ke atas Najib melibatkan jenayah terbesar seorang kleptokrat dari pemimpin Melayu dan dari parti Melayu terbesar di dunia.
Dari awal pertuduhan ke atas pemimpin Melayu itu, saya melihat sangat sukar terlepas dari peruntukan perundangan yang ada kerana ia melibatkan penggubahan wang haram dan pecah amanah.
Tahap pembuktian terletak pada beban OKT kerana ia melibatkan duit yang jelas dimasukkan dalam akaun OKT.
Bertahun ketika ahli parlimen pembangkang membawa isu 1MDB dan rangkaian rumitnya dari anak syarikat SRC dan sarang antarbangsa lain, kami dari pembangkang ketika itu dikatakan memfitnah dan berbohong.
Isu pendedahan kami dijawab dengan bahasa perkauman, Kami ketika itu dikatakan anti Melayu, Liberal dan talibarut Amerika dan tidak setia pada negara.
Kempen terancang dan dibiyai kerajaan waktu itu menuduh kami anti Islam penganut Islam liberal dan tunduk pada orang kafir. Saya dikatakan Khadam DAP dan penganut Islam Liberal!
Melayu tertipu dengan skim licik ini supaya orang Melayu/Islam asyik sibuk tuduh menuduh sesama mereka pada masa mereka sudahpun mencuri duit negara dan Jho Low menunggang pemimpin Melayu bermewah dengan duit curi ini! Melayu tertipu lagi…
Hari ini terbuktilah siapa yang mengkhianati aset negara dan memalukan maruah orang Melayu?
Bukankah orang Melayu sendiri yang dimalukan dengan rompakan terbesar harta negara abad ini?
Kenapa orang Melayu masih perlu berbalah tentang kesalahan merompak harta negara yang cukup jelas ini?
Apabila saya memikirkan bagaimana seluruh aparatus kerajaan digunakan untuk menutup isu ini, saya yakin seluruh kerajaan BN/UMNO bersubahat dengan Najib.
Peguam Negara, Media kerajaan, parti UMNO dan cybertrooper UMNO. Selain itu parti Islam PAS turut memberi ‘nyawa’ penafian kepada Najib sampailah selepas penghakiman bersalah dikeluarkan.
Bayangkan, parti Umno dan Pas bercakap tentang perpaduan Melayu, bersatu atas nama perompak harta negara?
Apa pun, Alhamdulillah..disebalik sentimen Melayu dan agama yang digunakan untuk mengalih rakyat kepada perompakan ini, tidak semua orang Islam dan Melayu terpesong dengan pembohongan ini.
Orang Melayu ada maruah dan harga diri dipandu dengan Islam yang menentang keras pemimpin yang jahat merompak harta rakyat.
Sebab itu orang Melayu memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk menebus maruah yang dicabuli ini walaupun hanya sekitar 30% yang bersolidariti dalam undi menentang kleptokrat Melayu.
Saya mengajak supaya semua orang Melayu bersatu demi satu penghormatan kepada tahap kemuliaan akhlaq yang diajar oleh Islam.
Siapa kata Melayu berpecah?
Saya yakin perpaduan orang Melayu lebih kuat hari ini dengan pensabitan Najib, dengan syarat jika kita semua bersetuju dan bersatu hati melawan rasuah, melawan pemimpin yang merompak harta rakyat dan melawan penungang agama yang semakin berleluasa.
BERSATULAH!
DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Parit Buntar
29hb July 2020.