Lanjut moratorium tidak untungkan golongan bekerja sendiri
Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman bank selama 3 bulan lagi secara terpilih tidak menyelesaikan masalah rakyat keseluruhan, terutama golongan yang bekerja sendiri.
Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, moratorium yang lebih bersifat pilihan mungkin akan mencicirkan sebahagian rakyat sebagai mana siri bantuan kerajaan sebelum ini.
Tegas beliau, moratorium berasaskan pertimbangan pihak bank biasanya tidak begitu mesra terhadap golongan marhaen.
“Pada hemat saya ia adalah penyelesaian jangka pendek bagi satu masalah yang amat besar.
“Hampir 20% tenaga kerja di negara ini adalah bekerja sendiri. Semasa PKP, kumpulan ini benar-benar terkesan dengan kehilangan sumber pendapatan dengan lebih 90% mengalami pengurangan mendadak pendapatan dan sekurang-kurangnya 50% kehilangan terus pendapatan.
“Langkah yang diumumkan (maratorum) tidak memastikan manfaat diterima oleh yang bekerja sendiri dan di dalam sektor yang tidak rasmi.
Moratorium tambahan dan kelonggaran dalam pembayaran pinjaman bergantung pada permohonan serta kelulusan yang akan dilaksana oleh bank-bank.
Moratorium tambahan dan kelonggaran dalam pembayaran pinjaman bergantung pada permohonan serta kelulusan yang akan dilaksana oleh bank-bank.
“Justeru apa yang diumumkan itu tidak akan dijamin secara automatik, dan bank pula menggunakan budi bicara mereka menentukan siapa layak atau tidak layak. Saya mendesak kerajaan bersikap telus dan penuh kebertanggungjawaban dalam memastikan manfaat serta langkah yang diumumkan itu benar-benar sampai kepada mereka yang kesesakan hidup dengan seberapa cekap yang termampu,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Ketua Pembangkang di Parlimen itu juga mengingatkan sebelum ini kerajaan PN telah secara salah menggambarkan jumlah rangsangan fiskal yang disuntiknya ke dalam ekonomi dan kelancaran pengagihan bantuan langsung kepada rakyat Malaysia. Tidak mustahil pelanjutan moratorium kali ini juga akan mengalami nasib yang hampir sama.
“Saya kecewa dengan pengulangan fakta-fakta yang samar sementara tantangan sebenar merundung rakyat Malaysia tidak dapat ditangani secara baik.
“Saya gesa kerajaan beri keutamaan dalam membangunkan penyelesaian tuntas kepada masalah pengangguran, kemiskinan dan jurang pendapatan yang melebar, mewujudkan program keselamatan sosial mampan bagi mendukung kumpulan masyarakat miskin sementara ekonomi bergelut untuk pulih, dan turut menyediakan lebih banyak bantuan kepada rakyat serta pengusaha-pengusaha PKS yang kini menghadapi masalah kewangan ketika wabak,” katanya lagi.
Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman bank. Berbeza dengan moratorium sebelum ini yang dinikmati seluruh rakyat, penangguhan kali ini hanya dinikmati oleh kelompok yang kehilangan pekerjaan atau menghadapi pemotongan gaji, bergantung kepada penilaian sesebuah bank ke atas kedudukan kewangan pelanggan mereka.
Permohonan lanjutan moratarium boleh dilakukan peminjam yang layak bermula 7 Ogos ini.