KISAH ANAK TAK BERGUNA


Azman Mohd Nasir

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam memerintahkan seorang pensyarah universiti yang berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dan suaminya memberi nafkah kepada ibu bapanya sepanjang hayat. Hakim Mohd Nadzri Abdul Rahman Ibrahim, juga memerintahkan Raja Suzana Kassim, 39, dan suaminya, Zulazli Hashim, 43, memenuhi lima tuntutan lain yang difailkan Kassim Othman, 74, dan isterinya, Fatimah Salleh, 66, iaitu membenarkan mereka sepanjang hayat tinggal di sebuah rumah di Kampung Jiboi Baru, Ampangan.
Mahkamah turut memerintahkan pasangan warga emas itu diberi kebebasan bergerak dan melakukan aktiviti dalam rumah itu serta kawasan persekitaran; diberi kebebasan dilawati anak lain pada bila-bila masa sepanjang hayat; menghormati dan menjaga kebajikan mereka serta membiayai mereka mengerjakan haji.  “Saya juga memerintahkan defendan pertama membayar nafkah RM500 sebulan, iaitu RM250 kepada plaintif pertama (Kassim) untuk membayar bil utiliti dan kos penyelenggaraan kawasan rumah serta RM250 kepada plaintif kedua (Fatimah) untuk kos perbelanjaan harian pada setiap akhir bulan sepanjang hayat mereka.
“Saya fikir bayaran nafkah itu mencukupi untuk pasangan warga emas seperti mereka kerana anak lain juga perlu bertanggungjawab menanggung mereka.
Perintah ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam penghakiman ringkas kes itu.
Bagaimanapun, hanya Zulazli hadir ketika hakim membacakan keputusan itu. Raja Suzana, anak kelima daripada lapan beradik tidak hadir kerana mahkamah diberitahu peguamnya,
Norzaini Nordin , bahawa anak guamnya terpaksa mengendalikan peperiksaan akhir semester penuntutnya.
Pada April 2007, Kassim dan Fatimah yang diwakili Haniff Hassan , memfailkan enam tuntutan termasuk nafkah sepanjang hayat daripada anak perempuan dan menantunya kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya itu.
Pada 1993, Raja Suzana serta Zulazli mendirikan rumah tangga dan pada 2002, Kassim memindah pemilikan tanah kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu.
Pengajaran-pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa ini ialah :

Pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak dengan Islam sehingga lahir kasih sayang kerana Allah dan perasaan tanggungjawab diantara mereka.

Penting ibu bapa memadankan anak-anak mereka dengan pasangan-pasangan yang beragama yang turut menghormati mertua disamping menghormati ibu bapa mereka sendiri.

Setiap dosa di dalam Islam boleh dianggap jenayah oleh Mahkamah Syariah. Ini termasuk menghalau ibu bapa keluar dari tempat kediaman mereka tanpa pembelaan.

Dokumen dan penama pemilikan rumah, tanah atau apa sahaja hartanah adalah suatu yang penting disimpan. Jangan mudah menukar nama pemilikan tanpa sebarang jaminan ketaqwaan dan hitam putih.

Sebarang permasalahan keluarga yang tidak boleh diselesaikan sesama sendiri boleh dirujuk ke Mahkamah Syariah.

Penting seseorang mengatur kehidupan mereka termasuk mengatur budget perbelanjaan bulanan. Jika gagal mengaturnya dengan baik, gaji ribuan ringgit sebulan pun tidak akan mencukupi bukan sahaja untuk memberi sumbangan kepada ibu bapa yang telah tua, tetapi juga untuk diri dan keluarga sendiri.

Kejayaan dalam pelajaran adalah satu perkara. Namun kejayaan dalam berbakti kepada ibu bapa dan masyarakat adalah suatu perkara yang lain pula.

Mendapat gaji adalah suatu perkara. Namun mendapat wang yang berkat adalah suatu perkara yang lain. Rezeki yang diberkati Allah melahirkan taqwa kepada insan, puas (qanaah) dengan apa yang ada disamping memberi dorongan kepada seseorang untuk terus menambah usaha demi berbakti kepada umat dan Agama.

Pasangan yang baik di dalam perkahwinan ialah pasangan yang sering mengingatkan kita akan tanggungjawab kita terhadap keluarga dan sanak saudara.

Sebaik-baik perhiasan di dunia ialah Isteri yang Solehah. Sebaik-baik peninggalan di dunia ialah Anak Yang Soleh. Lihatlah, kesemuanya ialah harta insan atau manusia, bukan banglo yang tersergam, kereta mewah yang meluncur dan wang ringgit yang melimpah ruah.

Allah swt Maha Penerima Taubah (At-Tawwab). Setiap anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yanag bertaubat, tidak kembali kepada perbuatan salahnya, membaiki dan mempertingkatkan dirinya menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa.