KENYATAAN MEDIA
2 Julai 2020
Saya mengikut rapat keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan portal berita Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya saudara Steven Gan untuk membatalkan prosiding mengenai komen pembaca yang menghina mahkamah.
Keputusan yang dibuat pada hari ini akan memberi kesan kepada kebebasan media di negara ini, termasuk kebebasan bersuara dalam talian.
Sejak kebelakangan ini pihak media tidak terlepas daripada menjadi sasaran penguasa. Antara yang terkesan termasuk Ketua Pengarang portal berita kesihatan CodeBlue, Boo Su-Lyn dan wartawan South China Morning Post (SCMP), Tashny Sukumaran.
Ingin ditegaskan peranan media dalam sistem demokrasi pada ketika ini sangat penting maka kerajaan harus memperlihatkan etika dan tatacara terbaik, dan bukan mengundur ke belakang.
Media berfungsi sebagai ejen penting dalam menyebarkan maklumat. Justeru, saya melihat apa saja bentuk hukuman kepada mereka sebagai bertentangan dengan semangat demokrasi dan negara hukum.
Ingin juga ditegaskan pada masa sama kita harus membendung penularan berita palsu serta penghinaan terhadap mahkamah menerusi dasar dan undang-undang yang menekan.
Kita juga harus akui dan mengambilkira kebebasan bersuara seperti yang dijamin dalam Perlembagaan.
Adalah salah dan keterlaluan untuk memangsakan media dan saya menggesa Peguam Negara untuk mengkaji semula tindakan tersebut kerana ia akan mengesankan imej dan reputasi Malaysia di mata dunia.
Kita tidak harus mencontohi rejim sebelum ini yang mengenakan sekatan kepada pihak media dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
ANWAR IBRAHIM