KENAPA HANYA SETELAH NAJIB DIHUKUM BARU MUHUIDDIN MAHU BAWA BERSATU SERTAI MN


Menurut laporan, Bersatu akan bergabung bersama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) bagi mengukuhkan lagi kerajaan Perikatan Nasional atau PN.
Keputusan itu dikatakan dicapai hasil pertemuan yang diadakan semalam antara Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dengan Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Pas berikutan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib Razak, Selasa lalu.
Pertemuan dengan Muhyiddin itu dipercayai diadakan bagi mendapatkan pendirian berhubung kerjasama ketiga-tiga parti Melayu itu susulan hukuman yang diterima Najib.
Dalam pertemuan itu, Muhyiddin difahamkan telah memberi komitmen untuk terus bekerjasama dengan UMNO dan Pas bagi menghadapi PRU15 akan datang.
Malah, bagi tujuan memudahkan lagi pembahagian kerusi, Muhyiddin juga menyatakan yang Bersatu akan menyertai MN yang kini dianggotai UMNO dan Pas.
Dengan perkembangan terbaru ini, jika benar ia menjadi kenyataan, bermakna MN akan dianggotai tiga parti Melayu – UMNO, Pas dan Bersatu.
Persoalan utama yang timbul di sini, kenapa Muhyiddin menyuarakan hasrat Bersatu untuk menyertai MN hanya setelah Najib dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah?
Mengapa kira-kira lima bulan sebelum ini sejak terbentuknya kerajaan PN pada 1 Mac lalu, hasrat Bersatu mahu menyertai MN itu tidak pernah dibangkitkan?
Adakah ini bermakna Muhyiddin masih bimbang dengan pengaruh Najib dalam UMNO dan MN?
Oleh kerana Najib sudah disabitkan bersalah, meskipun hukuman ditangguhkan sementara kesnya dirayu ke Mahkamah Rayuan, jika PRU diadakan sekarang bermakna bekas Perdana Menteri itu tidak boleh menyertai pilihanraya.
Dalam keadaan tersebut, sementara Presiden UMNO, Zahid Hamidi sendiri sedang berdepan banyak perbicaraan di mahkamah, usaha Muhyiddin untuk meyakinkan MN agar terus menyokongnya sebagai Perdana Menteri sudah tentu menjadi lebih mudah.
Pas pula, sejak menjadi kerajaan ini nampaknya lebih condong untuk terus mengekalkan Muhyiddin kerana terlihat mahu terus menikmati habuan gaji elaun mewah dalam pentadbiran setiap bulan.
Di waktu yang sama, keadaan ini menunjukkan bukan saja Muhyiddin akhirnya akan mengetuai dan memimpin MN dengan mengenepikan UMNO, malah dalam keadaan yang cukup selesa untuk memastikan Bersatu memperolehi jumlah kerusi yang dikehendaki untuk ditandingi.
Setidak-tidaknya semua kerusi Parlimen yang dipegang Bersatu sekarang, termasuk dalam genggaman kem Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali, akan terus ditandingi wakil parti itu.
Begitu pun, hal ini tentu saja tidak disenangi oleh akar umbi UMNO dan soal pembahagian kerusi bakal menjadi isu yang berpanjangan sehingga ke hari mengundi.
Perebutan kerusi yang akan berlarutan yang memungkinkan berlakunya sabotaj ketika pilihanraya itu nanti dengan sendirinya tidak memberi jaminan MN atau PN mampu kekal berkuasa lagi, meskipun setelah pembahagian kerusi berjaya dipersetujui.
Malah, jika rajuk ahli dan pemimpin UMNO tak mampu dibendung, kemasukan Bersatu ke dalam MN hanya akan memudahkan lagi kekalahan gabungan itu dalam PRU akan datang nanti. (Shahbudindotcom 30/07/2020)