Isu RUU 355 lenyap dalam kerajaan PN
Isu RUU 355 dibangkitkan semalam melalui soalan lisan yang dikemukakan oleh YB Datuk Dr Hassan Bahrom ahli Parlimen Tampin kepada Perdana Menteri.
Soalannya berbunyi : Minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah Kerajaan berhasrat membentangkan RUU 355 tersebut untuk kali kedua, jika ya bila dan bagaimana ia hendak dilaksanakan. Jika tidak, mengapa?
Soalan itu dijawab oleh YB Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan sentiasa terbuka terhadap cadangan penambahbaikan berkaitan penggubalan undang-undang daripada pelbagai pihak. Walau bagaimana pun, cadangan ini memerlukan pertimbangan dan penelitian secara menyeluruh bagi memastikan cadangan tersebut selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
RUU 355 adalah salah satu isu yang diperjuangkan oleh PAS sebelum PRU-14 yang lepas dengan kemuncaknya mengadakan himpunan di Padang Merbok, Kuala Lumpur.
Walau pun usul persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS itu diberi kebenaran oleh pihak kerajaan untuk dibentangkan namun ia tidak pernah dibahaskan kerana Presiden PAS sendiri yang menangguhkannya dari dibahas pada waktu itu.
Polemik RUU 355 ini kembali hangat kerana PAS yang menjadi sebahagian dari kerajaan dilihat tidak menjalankan sebarang langkah munasabah untuk membawanya kembali ke Parlimen dengan Menteri Undang-Undang dipegang oleh PAS sendiri.